Carian
May 23, 2020

Perutusan Eidulfitri 1441H / 2020

PERUTUSAN EIDULFITRI 1441H / 2020 MASIHI

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Hil Hamd

 

Dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita terus diberi kesempatan pada tahun ini untuk merayakan hari besar buat umat Islam dan hari kemenangan yakni Eidulfitri buat tahun 1441 Hijrah. Eidulfitri juga bermakna kembali kepada fitrah kemuliaan insan yang murni setelah berentap dengan dugaan Ramadhan. Pengajarannya adalah tekad meningkat amal ke arah makruf dan menolak kemungkaran rasuah dan pengkhianatan.

 

Bersamalah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat dan ganjaran yang selayaknya buat umat.

 

Seperti yang semua sedia maklum, perayaan Eidulfitri adalah hari yang penuh kegembiraan di mana kita akan meluangkan masa bermaaf-maafan sesama keluarga, dan diisi dengan aktiviti ziarah menziarahi dalam upaya kita untuk memperteguh dan memperkuat silaturahmi.

 

Namun, perayaan Eidulfitri tahun ini ternyata berbeda dari dasawarsa-dasawarsa yang lalu tatkala kita terus terkesan dengan serangan dan dampak wabak Covid-19. Musibah yang menimpa kita ini tidak pernah dialami kita sebelumnya. Justeru dalam keghairahan kita menyambutnya, usah pula kita korbankan aspek-aspek kesihatan seperti pembatasan sosial atau pemakaian topeng muka. Saya turut ingin menggesa agar perayaan Eidulfitri tahun ini harus disambut dengan kewaspadaan, kesederhanaan dan keinsafan.

 

Mutakhir ini kita dihadapkan dengan kemelut kepimpinan yang amat parah yang sedang bergulat dengan persoalan keabsahan dan cabaran ekonomi yang maha dahsyat. Justeru apa yang dituntut kini adalah kebijakan yang inklusif dan progresif bagi merangkul kembali kekuatan ekonomi dan negara.

 

Akhir kalam ingin saya menyeru kepada semua warga agar kerukunan dan perpaduan terus dipupuk dan dirancakkan sesuai dengan norma baharu hari ini. Marilah bersama kita berusaha, berikhtiar dan berdoa agar pelbagai krisis yang melanda negara hari ini dapat ditamatkan sesegera mungkin. Mendoakan mudah-mudahan kita terus diberi kekuatan dan kesabaran.

 

Selamat menyambut Hari Raya Eidulfitri 1441 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Maaf zahir dan batin.

 

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up