Carian
March 25, 2020

Perutusan Israk Mikraj Presiden

 

 

90233506_10160314011601840_162177982276829184_o

PERUTUSAN ISRAK MIKRAJ 1441H

Peristiwa Israk Mikraj bukan peristiwa yang asing buat umat. Saya memetik kisah ini dari Surah al Isra': 1 dari Tafsir Al Munir oleh Syeikh Wahbah az Zuhaili di mana Allah SWT memaparkan kepada Nabi-Nya tanda-tanda kekuasaan dan keesaanNya, termasuk kewujudan syurga dan neraka, perkitaran bumi dan alam, perhubungan alam dan langit, Kursi dan Arsy.

Peristiwa ini juga penting di mana Allah memerintahkan ibadat solat yang bukan sahaja ritual, malah turut menjadi maksud kepada mencegah kemungkaran di tengah masyarakat.

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar" (Surah al Ankabut: 45).

Perintah ini bukan kecil maknanya tatkala Allah SWT menghadiahkan kepada Nabi Muhammad SAW selepas melepasi ujian demi ujian, kegagalan dan berbagai penderitaan setelah kewafatan keluarga terdekat dan juga kegagalan berhijrah ke Habsyah pada ketika itu.

Saya menggesa umat Islam untuk memanfaatkan masa terluang ini dengan mengkaji dan menggarap peristiwa Israk dan Mikraj agar kita menginsafi kekuasaan Yang Maha Esa supaya kita menjadi umat yang baik dan beramal soleh.

Saya ucapkan selamat memperingati peristiwa penting ini kepada seluruh umat Islam di Malaysia dengan doa agar syafaat Baginda Nabi Muhammad SAW akan selalu menyertai kita semua.

ANWAR IBRAHIM
PRESIDEN KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up