PERUTUSAN TAHUN BARU CINA 2020 PRESIDEN KEADILAN
Tahun Baru Cina atau turut disebut sebagai Pesta Musim Bunga adalah hari besar dan punyai makna yang bukan kecil buat masyarakat Cina. Tahun baru menandakan permulaan musim baru menurut kalendar Cina.
Tahun baru bukan sahaja tarikh penting, malah merupakan masa dan ketikanya untuk berkumpul dan meraikannya bersama. Kemeriahannya bukan kepalang, apatah lagi bila dapat bersama dengan keluarga dan sanak saudara yang jarang bersua.
Namun, di sela-sela kemeriahan menyambutnya, usah kita lupa golongan yang kurang bernasib baik dan yang hidup melarat. Sebagai kerajaan hari ini, upaya dan usaha kita harus diperkemas dalam mengangkat darjat insan dan tahap ekonomi rakyat.
Rencana yang khusus mengenainya harus dibentang dan dilaksana dengan komitmen yang jitu dan bersungguh-sungguh agar sistem ekonomi yang mendukung dan membebas semua dapat dibangunkan. Kelesuan dan kebuntuan ekonomi ternyata akan merantai warga di semua peringkat tatkala prospek suram ekonomi global saat ini.
Peningkatan Malaysia yang ketara terutamanya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI-M) seperti yang dilaporkan hari ini adalah langkah baik dan cerah ke arah era Malaysia Baru yang bebas rasuah dan berintegriti.
Saya juga menggesa kepada semua agar menjadikan tahun baru dan dekad baru ini sebagai suatu permulaan yang segar lewat hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.
Setelah kita dihadapkan dengan berbagai isu kaum yang meruncing kebelakangan ini, sikap kita sebagai pemimpin dan sebagai rakyat adalah menjadi pemuka yang meredakan ketegangan dan menegakkan keadilan.
Bersempena dengan perayaan sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, mari bersama kita semarakkan kerukunan dan kejamakan budaya di Malaysia dengan aktiviti menziarah jiran tetangga. Ini nilai dan identiti bangsa Malaysia yang tidak harus digugat dan dinafi sesiapa malah harus terus diperkukuh dan dipertahankan.
Mewakili KEADILAN, saya mengucapkan Xin Nian Kuai Le dan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia.
ANWAR IBRAHIM
PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT