Carian
June 2, 2021

Segerakan Vaksin untuk warga Politeknik dan Kolej Komuniti

Kami telah menerima banyak rungutan dan aduan dari para pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti yang sering tertinggal dan tersisih dalam mendapat perhatian daripada kerajaan dikala wabak Covid-19 melanda. Berbanding golongan pendidik yang lain, mereka sering dipinggirkan dan tidak mendapat pembelaan. Jika guru-guru mempunyai NUTP dan KGMMB, dan di pihak pensyarah IPT pula mempunyai GERAK dan MAAC yang lantang bersuara, para pensyarah politeknik dan Kolej Komuniti pula diwakili oleh Kesatuan DH

Kebangsaan (Kesatuan Kebangsaan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi Semenanjung Malaysia) tidak begitu dirasakan, malah suara mereka jarang diberikan tumpuan.

Antara isu yang nyata terlihat mereka dianaktirikan ialah berkaitan kakitangan politeknik dan kolej komuniti dari Semenanjung yang Kembali bertugas di Sarawak. Kos kuarantin terpaksa ditanggung sendiri oleh mereka berbanding guru-guru KPM yang kosnya ditanggung oleh pihak kerajaan.

Seumpamanya juga ialah berkenaan isu vaksin. Tatkala banyak suara meminta para guru di sekolah disegerakan dan dierikan keutamaan untuk diberikan vaksin, para pengajar politeknik dan kolej komuniti dipinggirkan dalam mendapat keutamaan untuk diberikan vaksin walaupun kebanyakan mereka terpaksa mengadakan kelas secara bersemuka untuk kursus-kursus praktikal di dalam bengkel, makmal dan kelas.

Berdasarkan statistik tahun 2019, terdapat lebih 10,588 pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Pengajian Tinggi) di seluruh negara di bawah skim DH. Walaupun jumlah mereka secara relatif lebih rendah berbanding bilangan guru di malaysia tetapi mereka juga menyumbang secara signifikan kepada pembangunan pendidikan negara khususnya TVET.

Pencapaian kebolehpasaran Politeknik dan Kolej Komuniti yang melebihi 90% setiap tahun lebih daripada kadar purata nasional institusi TVET, sering didendang dan disanjung. Malangnya aspek kebajikan para pengajar/pendidik,dan kakitangan TVET pula sering terpinggir.

Pensyarah politeknik dan Kolej Komuniti juga adalah pejuang barisan hadapan (frontliners). Mereka menyumbang terhadap kesinambungan pendidikan anak-anak pasca sekolah
menengah dan membangunkan potensi pelajar yang rata-rata terdiri daripada kalangan keluarga B40 yang berjumlah seramai 85,936 di Politeknik, manakala 16,152 di Kolej
Komuniti di seluruh negara. Mereka terdedah kepada risiko jangkitan virus COVID-19 kerana walaupun aspek teori dijalankan secara dalam talian, sesi amali perlu dilakukan secara bersemuka bagi majoriti kursus yang ditawarkan.

Warga Politeknik dan Kolej Komuniti juga telah banyak menyumbang terhadap usaha-usaha mengekang penularan COVID-19. Ketika wabak ini mula merebak, banyak politeknik dan Kolej Komuniti memainkan peranan membantu menghasilkan Personal Protective Equipment (PPE) seperti gaun, menghasilkan pelitup muka dan pelindung muka (face
mask/face shiled) dan membantu mengedarkan bantuan makanan kepada masyarakat berdasarkan kemahiran TVET yang mereka ada. Tambahan pula ada politeknik dan Kolej Komuniti yang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) seperti Politeknik Port Dickson. Kalangan pensyarah politeknik dan Kolej Komuniti yang menganggotai pasukan beruniform seperti Wataniah, RELA dan APM juga telah banyak berkorban bergabung tenaga dengan barisan hadapan yang lain untuk membendung
penularan wabak covid-19 dalam masyarakat.

Oleh itu sudah sewajarnya kerajaan juga memberi keutamaan kepada semua pensyarah dan kakitangan Politeknik dan Kolej Komuniti untuk mendapat vaksin COVID-19. Menyedari tentang kepentingan peranan para pengajar dan kakitangan politieknik dan kolej komuniti di seluruh negara, kami dari JK Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dan ahli-ahli
parlimen dari blok pembangkang mendesak agar Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama JK Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 untuk memberikan
keutamaan dan menyegerakan vaksin untuk warga Politeknik dan Kolej Komuniti.

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan

YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Teo Nie Ching, Parti Tindakan Demokratik (DAP)

YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Natrah binti Ismail, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Steven Sim Chee Keong, Democratic Action Party (DAP)

YB DSP Wilfred Madius Tangau, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO)

YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA)

YB Dato’ Wira Amiruddin Hamzah, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG)

YB Ahmad Hassan, Parti Warisan Sabah (WARISAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up