Carian
May 30, 2021

Sesi Persekolahan Selepas Sekatan Pergerakan (Lockdown) 1 Jun – 14 Jun 2021

Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu telah tamat dan cuti sekolah selama dua minggu akan bermula. PM pula mengumumkan sekatan pergerakan terkini dari 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021.

Sepanjang sesi PdPR yang terkini ini, masalah-masalah lama masih belum selesai. Para guru dan pelajar masih dibelenggu dengan keadaan tiada peranti, capaian internet yang lemah, suasana pembelajaran yang tidak kondusif, sukatan mata pelajaran yang direka untuk pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang tidak sesuai diadaptasi kepada PdPR, kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran atas talian, pelaksanaan TV Pendidikan yang tidak efektif dan sebagainya. Hal yang sama dihadapi oleh murid-murid di mana 150,000 komputer riba yang dijanjikan sehingga kini belum nampak lagi diterima oleh murid-murid dari keluarga B40.
Apakah perancangan Kementerian Pendidikan selepas tamatnya sekatan pergerakan tersebut? Bilakah Kementerian Pendidikan akan mengumumkan rancangan seterusnya bagi sesi
persekolahan yang akan datang? Adakah murid-murid akan kembali ke sekolah ataupun akan mengikuti kaedah PdPR? Atau apakah pelannya jika sekatan perjalanan dilanjutkan atau ditamatkan? Kita tidak mahu keputusan di saat terakhir seperti kelazimannya.

Jika kembali ke sekolah, adakah SOP pengurusan Covid-19 di sekolah telahpun dikemaskini? Sebelum ini, telah banyak aduan dibangkitkan tentang SOP yang tidak berkesan serta membimbangkan ibu bapa dan warga sekolah. Mengikut laporan Kementerian Kesihatan, setakat 18 Mei 2021, seramai 64,046 kanak-kanak telah dijangkiti Covid-19. Daripada jumlah ini, 23,739 orang merupakan murid-murid di bawah usia 12 tahun. Warga sekolah, terutamanya para guru juga belum diberikan vaksin walaupun telah digesa berkali-kali oleh Jawatankuasa ini.

Pada 29 Mac 2021, dalam persidangan Menteri-menteri Pendidikan secara atas talian anjuran UNESCO yang bertajuk, “One year into COVID: Prioritizing education recovery to avoid a general catastrophe”, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menegaskan bahawa semua negara perlu “mengutama dan melindungi pendidikan” melalui “perlindungan dalam belanjawan kebangsaan, meningkatkan fokus terhadap pendidikan dalam pakej-pakej rangsangan, mengekal atau meningkatkan bantuan kepada pendidikan menggunakan kesempatan pemulihan untuk merapatkan jurang pendidikan, memperluaskan kesalinghubungan digital dan membayangkan semula pendidikan [berdepan norma baharu]”. Hal ini perlu disikapi sebagai panduan juga oleh Malaysia sebagai salah sebuah negara anggota UNESCO.
Bertitik tolak dari kesedaran ini, kami JK Pendidikan Pakatan Harapan mendesak KPM agar:
1) Menyatakan pelan persekolahan pasca sekatan pergerakan (lockdown) secara telus agar para guru, ibu bapa dan murid-murid dapat membuat persiapan awal semenjak dalam cuti persekolahan lagi.

2) Menyegerakan vaksin kepada semua para guru dan bukan hanya terhad kepada guru yang berusia dan berisiko sahaja seperti yang telah digesa berkali-kali oleh Jawatankuasa ini.

3) Memberikan insentif ‘one-off’ kepada para guru yang telah dan akan menggunakan wang mereka sendiri sepanjang PKP untuk membeli data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian.

4) Menyegerakan pemberian kesemua 150,000 komputer riba yang telah dijanjikan kepada murid-murid dari keluarga B40. Perlu diingat kegagalan kerajaan persekutuan terutamanya Menteri Pendidikan dan kedua-dua timbalannya di dalam memberikan respons yang pro-aktif seperti yang diperlukan oleh rakyat akan memberi kesan buruk yang mendalam kepada lebih 5 juta orang pelajar generasi ini bukan sahaja untuk masa kini tetapi pada dekad-dekad yang akan datang.

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan
YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Teo Nie Ching, Democratic Action Party (DAP)
YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Natrah binti Ismail, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Steven Sim Chee Keong, Democratic Action Party (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up