Kitaran ekonomi yang tidak menentu hari ini menuntut kesediaan Malaysia meneroka pelbagai potensi yang ada bagi memastikan ekonomi Malaysia mampu bertahan dan berkembang untuk suatu tempoh jangka masa panjang.
Mendepani hakikat tersebut, ekonomi gig dilihat sebagai model baru ekonomi yang semakin berkembang maju dan mendapat sambutan. Namun kerajaan perlu memantau secara dekat situasi ini bagi memastikan ianya berjalan secara sihat dan tidak mengheret persekitaran ekonomi Malaysia ke arah amalan monopoli yang hanya dikuasai satu pihak.
Saya menyambut baik pandangan YB Nurul Izzah Anwar dan YB Wong Chen sewaktu forum webinar dengan topik “Policy Monday: Labour Market Trends – Gig Economy” yang meluahkan kerisauan mereka terhadap situasi semasa yang dilihat berpotensi membuka ruang monopoli sesetengah pihak dengan merujuk kepada platform seperti Grab.
Ini secara tidak langsung akan menyuburkan sistem ekonomi secara kapitalisme yang membuka ruang sepenuhnya kepada pihak-pihak pemodal untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka tanpa diganggu oleh kerajaan.
Tidak dinafikan syarikat-syarikat yang dimaksudkan ini mempunyai kelebihan dan memanfaatkan sepenuhnya peluang sebagai penggerak pertama, namun ianya masih tidak boleh lari dari risiko berlakunya amalan monopoli yang tidak terkawal dan berpotensi menjadi krisis yang besar di masa hadapan.
Oleh sebab itu, kerajaan wajar melaksanakan kajian susulan terhadap Akta Persaingan 2010 bagi memastikan tiada kelompongan yang boleh dimanipulasi oleh pemain industri untuk tujuan monopoli dalam perniagaan.
Kerajaan juga perlu memainkan peranan lebih proaktif bukan sahaja bagi memberdaya ekonomi gig, bahkan turut perlu menjadi sistem sokongan dalam memastikan industri ini mampu memberi perlindungan sebaiknya kepada pekerja-pekerja yang terlibat.
Buat masa ini, pekerja ekonomi gig perlu mendaftar sendiri di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan menurut data yang diperoleh setakat Ogos 2020, jumlah yang berdaftar dengan PERKESO hanyalah sekitar 7 peratus daripada 400,000 individu yang terlibat dalam ekonomi gig di Malaysia. Oleh itu kerajaan perlu melihat penambahbaikan dalam hal ini kerana pekerja ekonomi gig juga turut terdedah dengan risiko kemalangan yang tinggi.
Usaha mengekang risiko amalan monopoli dengan mengkaji undang-undang sedia ada serta memperkemas inisiatif semasa bagi melindungi pekerja ekonomi gig perlu diletakkan sebagai sebahagian daripada keutamaan kerajaan untuk disegerakan.
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia
31 Mac 2021