Carian
April 22, 2021

Batalkan Kompaun Kepada Pelajar Kolej Matrikulasi Perak

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK Malaysia) menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan kerajaan yang berterusan melaksanakan amalan 2 darjat dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID19 dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini banyak teguran dan aduan yang telah AMK Malaysia suarakan untuk diambil perhatian dan penambahbaikan oleh kerajaan supaya SOP ini dapat dilaksanakan secara efektif dan memberi keadilan kepada semua. Namun amalan 2 darjat ini terus berlaku dengan situasi yang semakin tidak rasional.

Baru-baru ini tular berkenaan enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikompaun RM1,500 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 hanya kerana terkhilaf tidak memakai pelitup muka di dalam kawasan premis kolej.

Juga dimaklumkan kehadiran pihak KKM bertujuan menyiasat aduan berhubung kes keracunan makanan dan tiada kaitan dengan COVID19. Pelajar di kolej matrikulasi ini juga berada di bawah pengawasan baik sepanjang lebih 4 bulan berada di kolej dan punyai kontak luar yang amat minimum.

Tindakan kompaun kepada pelajar ini tidak berlandaskan budi bicara yang sewajarnya dan sama sekali tidak mencerminkan kaedah penyelesaian yang rasional terutama sekali apabila pelajar-pelajar ini masih di bawah tanggungan keluarga dan ada dikalangan mereka dari keluarga berpendapatan B40.

Situasi ini amat berbeza jika dibandingkan dengan layanan terhadap golongan “kayangan” atau VVIP yang melanggar SOP, sering kedengaran bahawa kertas siasatan akan dibuka manakala bagi rakyat biasa akan dikenakan kompaun terlebih dahulu dan kemudian jika ada perkara lain yang berbangkit barulah siasatan lanjut diadakan.

Baru-baru ini sewaktu kehadiran Perdana Menteri bersama-sama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa Dan Industri di salah sebuah masjid di Gombak, gambar Perdana Menteri yang tidak memakai pelitup muka serta penjarakan sosial yang tidak terkawal ketika sesi moreh seperti tidak menjadi kesalahan dan tiada siasatan dijalankan telah menjadi pertikaian netizen. Bukan itu sahaja, beberapa kes pelanggaran SOP oleh menteri yang pernah disuarakan sebelum ini juga masih belum kedengaran sebarang perkembangan.

Sehubungan itu, AMK Malaysia mendesak agar YB Dato’ Sri Adham Baba, Menteri Kesihatan menggunakan kuasa Menteri untuk membatalkan kompaun yang dikenakan kepada pelajar serta merta sebagaimana kesalahan demi kesalahan melibatkan Menteri-Menteri langsung tidak dihiraukan.

Usaha bagi mendisiplinkan rakyat agar mematuhi SOP akan lebih sukar susulan pendekatan dua darjat yang masih berlaku serta kegagalan pimpinan utama kerajaan sendiri untuk menunjukkan teladan kepada rakyat dalam aspek pematuhan SOP.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

SYUKRI RAZAB
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up