Carian
May 28, 2021

Mana Menteri Pengangkutan? Peruntukan RM6.05 Bilion Masalah Pengangkutan Awam Diabaikan

Sejak tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara “pintu belakang” ini, masalah pengangkutan awam makin rumit dan tidak berkesudahan bahkan menjadi lebih bermasalah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong langsung tidak berfungsi, sama juga seperti Timbalan Menteri beliau yang “hilang entah ke mana”. Pengangkutan awam seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilanda masalah akibat daripada ketidakcekapan Menteri Pengangkutan dan kementeriannya.

Selaku Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Kedah, saya terpanggil untuk membuat kenyataan kepada Menteri Pengangkutan, Kementerian Pengangkutan (MOT), serta Keretapi
Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang terlibat secara langsung dalam pemerkasaan perkhidmatan pengangkutan awam.

Isu kelemahan fasiliti pengangkutan awam terutamanya yang melibatkan perkhidmatan KTMB ini bukanlah satu isu yang baharu. Isu ini sudah lama “menghantui” kebanyakan pengguna pengangkutan awam di negara ini.

Kebanyakan fasiliti pengangkutan awam di stesen komuter kendalian pihak KTMB agak lemah dan di bawah paras ketidakpuasan hati yang tinggi dalam kalangan pengguna. Untuk makluman, purata pengguna yang menggunakan perkhidmatan KTMB mencecah hampir 600,000 orang setiap bulan.

Setiap hari banyak rungutan daripada pengguna mengenai pelbagai masalah sama ada dari segi teknikal atau pun melibatkan isu fasiliti. Walaupun ribuan aduan sudah dibuat, namun isu ini tetap tidak dapat diselesaikan dan masih “ditakuk lama” tanpa ada sebarang tindakan atau pembaharuan yang dilakukan.

Saya ingin membawa isu berkaitan kelemahan fasiliti pengangkutan awam melibatkan KTMB di Stesen Komuter Sungai Petani, Kedah. Lif di stesen komuter ini rosak dan tidak berfungsi sejak dari bulan November 2020 hingga sekarang. Alasan yang diberikan ialah lif tersebut tidak dapat dibaik pulih kerana ketiadaan barang alat ganti (spare part). Agak hairan dan pelik sudah 6 bulan berlalu namun lif ini masih tidak dapat diperbaiki. Dimanakah logik alasan tersebut?

Dalam tempoh 6 bulan yang agak panjang, sepatutnya lif tersebut sudah dapat siap diperbaiki dan tidak wajar pihak kontraktor yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan lif di Stesen Komuter Sungai Petani memberikan pelbagai alasan untuk tidak membaik pulih lif yang rosak tersebut.

KTMB Sektor Utara mula beroperasi seawal jam 5.00 pagi dan berakhir pada jam 10.45 malam yang bukan sahaja melibatkan perkhidmatan ETS tetapi perkhidmatan Komuter Sektor Utara turut beroperasi dalam masa yang sama. Ribuan pengguna harian yang menggunakan perkhidmatan KTMB terutamanya melalui Sektor Utara akan menggunakan fasiliti di Stesen

Komuter Sungai Petani. Keadaan lif yang tidak berfungsi sememangnya menyukarkan dan menyusahkan pengguna terutamanya golongan warga tua dan orang kurang upaya (OKU).
Selain masalah lif rosak, Stesen Komuter Sungai Petani ini juga boleh dikatakan “tidak mesra OKU”.

Pernah berlaku kejadian OKU cacat penglihatan (buta) yang menunggu di hadapan lif dengan harapan dapat menggunakan lif tersebut tetapi malangnya lif tersebut rosak dan tidak berfungsi.

Jikalau tiada pengguna lain yang memberitahu dan menegur orang kurang upaya tersebut, maka beliau akan terus menunggu di lif tersebut tanpa mengetahui bahawa lif tersebut tidak berfungsi dan rosak.

Golongan warga emas juga tidak terkecuali daripada menerima beban akibat ketidakcekapan fungsi kemudahan fasiliti di Stesen Komuter Sungai Petani ini. Warga emas terpaksa “mendaki” dan menaiki anak tangga yang boleh dikatakan agak tinggi serta bercerun.

Kebanyakan warga emas seperti yang diketahui mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung, asthma serta darah tinggi daeadaan ini amat membahayakan jika mereka terpaksa menggunakan tangga. Oleh hal yang demikian, amatlah penting untuk pihak KTMB di Stesen Komuter Sungai Petani segera memperbaiki dan membaik pulih lif yang rosak agar dapat berfungsi dengan baik supaya golongan yang berisiko dan memerlukan ini dapat menggunakan kemudahan fasiliti ini dengan senang sekaligus dapat menggembirakan hati mereka.

Menurut pengurusan Stesen Komuter Sungai Petani, aduan telah dibuat di Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di KL Sentral dan juga di Bukit Mertajam (Ibu Pejabat KTMB Sektor Utara) tetapi sehingga sekarang masalah ini belum selesai. Isu kerenah birokrasi yang tidak berkesudahan menjadikan isu ini sukar untuk diselesaikan.

Ingin juga saya sentuh bahawa isu kemudahan fasiliti yang lemah ini tidak hanya berlaku di Stesen Komuter Sungai Petani sahaja bahkan boleh dikatakan berlaku di kebanyakan stesen komuter lain di bawah kendalian pihak KTMB. Sewajarnya pihak KTMB bersama dengan Kementerian Pengangkutan mengambil serius dan cakna mengenai isu ini kerana ianya melibatkan keselamatan dan keselesaan para pengguna.

Pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam Belanjawan 2021 menerima peruntukan berjumlah RM 6.05 bilion, iaitu kenaikan sebanyak hampir 70 peratus berbanding Belanjawan 2020 tetapi persoalannya ke mana pergi peruntukan tersebut? Mengapakah tidak digunakan bajet itu untuk memperbaiki fasiliti di Stesen Komuter Sungai Petani dan stesen-stesen komuter yang lain yang turut sama mengalami masalah dan senasib dengan Stesen Komuter SungaiPetani? Seharus dan sewajarnya peruntukan tersebut digunakan untuk memperbaiki fasiliti perkhidmatan KTMB yang masih berada di tahap yang rendah dan tidak memuaskan.

Menteri Pengangkutan,Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan untuk tidak berbangga secara berlebih-lebihan kononnya negara ini maju ke depan dan canggih dalam sektor perkhidmatan pengangkutan awam tetapi masalah sekecil lif rosak ini pun tidak dapat diselesaikan dan tidak berkesudahan sehingga kini.

Kementerian Pengangkutan (MOT), Menteri Pengangkutan dan KTMB sepatutnya mencontohi dan menteladani negara Jepun yang fasiliti perkhidmatan pengangkutan awam mereka cukup terbaik dan berada di landasan yang betul. Usahlah kita “mendabik dada” dan megah mengatakan bahawa pengangkutan awam negara ini berada pada tahap yang baik jika
isu kemudahan fasiliti pun gagal untuk ditangani dan diselesaikan.

Menteri Pengangkutan menerima gaji puluhan ribu setiap bulan tetapi kecaknaan dan keprihatinan terhadap sistem pengangkutan awam tidak diendahkan malahan segala kelemahan yang ada juga tidak cuba untuk diperbaiki dan ditambah baik. Tugas seorang Menteri adalah bekerja untuk rakyat bukannya hanya “duduk goyang kaki” menunggu gaji masuk tanpa berbuat apa-apa sebarang tindakan untuk keselesaan pengguna pengangkutan awam.

Saya menyarankan agar pihak KTMB dan Kementerian Pengangkutan memberikan pengurangan tambang atau “diskaun” kepada pengguna pengangkutan awam sehingga kerosakan kemudahan fasiliti dapat ditangani dan diperbaiki. Tidak wajar dan tidak adil jika pengguna membayar tambang secara “penuh” (full) tetapi tidak mendapat menggunakan kemudahan fasiliti yang menyebabkan ketidakselesaan timbul.

Seterusnya, pihak KTMB juga perlu mengambil langkah yang proaktif untuk menangani isu kerosakan fasiliti ini dengan menempatkan beberapa orang pegawai khusus yang bertanggungjawab untuk membantu golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang memerlukan untuk memudahkan urusan pergerakan dan sebagainya yang berkaitan. Tidak adil jika hanya bergantung kepada seorang pegawai KTMB sahaja untuk memantau dan bertanggungjawab melakukan semua kerja secara bersendirian.

Satu pasukan khas audit penyelenggaraan juga perlu ditubuhkan bagi menangani segera isu permasalahan kerosakan kemudahan fasiliti pengangkutan awam terutamanya yang melibatkan perkhidmatan KTMB. Pasukan audit tersebut harus diwujudkan oleh pengendali pengangkutan awam dan perlu bergerak secara proaktif supaya segala punca masalah dapat dikesan dan penyelesaian segera dapat dilakukan.

Syarikat penyelia perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini seharusnya lebih cakna serta cekap dan kerap turun padang dalam menyelesaikan isu kerosakan kemudahan fasilitipengangkutan awam yang selalu menjadi rungutan besar para pengguna.

Pengguna akan berasa lebih selesa, seronok serta yakin menggunakan perkhidmatan awam sekaligus dapat membina kepercayaan orang awam bahawa kemudahan pengangkutan awam
adalah pilihan yang terbaik untuk pergerakan harian mereka jika segala isu ini dapat diselesaikan dengan segera tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Akhir kata, Menteri Pengangkutan perlu sedar serta mengakui bahawa sistem dan fasiliti pengangkutan awam di Malaysia ini masih lemah dan tidak memuaskan.

MOHAMMED FIRDAUS JOHARI
Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Kedah

Related Posts
crossmenuchevron-up