Carian
July 24, 2021

AMK Pulau Pinang Menggesa Kerajaan Hentikan Layanan Dua Darjat Terhadap Kes Melibatkan Pematuhan SOP

Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) menggesa kerajaan dan pihak polis menguatkuasakan undang-undang dan hukuman yang tegas dan adil ke atas kes yang melibatkan pematuhan SOP dan bukan mengambil layanan yang berbeza terutamanya apabila melibatkan golongan Menteri yang juga melanggar SOP.

Ini adalah berhubung dengan kes solat sunat Aidiladha di luar surau Taman Pelangi, Juru. Dimana pihak polis telah mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang terlibat dan seramai 49 individu yang terlibat telah dibawa untuk reman 4 hari dibawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) di mahkamah.

AMKPP berpendapat bahawa mereka yang hadir untuk menunaikan solat sunat pada hari raya Aidiladha yang suci ini tidak patut dilayan seperti penjenayah yang telah melakukan kes yang berat.

Persoalannya juga timbul kenapa mereka dikenakan tindakan yang begitu tegas dan terus dibawa untuk reman di mahkamah, sedangkan ramai kes menteri dan ahli politik kerajaan yang terang-terang melanggar SOP untuk kepentingan diri seperti majlis makan-makan dan aktiviti mencuba kenderaan baru tidak dilayan seperti mereka yang terlibat dalam kes solat ini.

AMK Pulau Pinang mengambil pendirian bahawa kerajaan dan pihak polis harus berwaspada dalam melaksanakan undang-undang dan hukuman yang tegas and adil kepada semua pihak yang melanggar SOP ini tanpa mengira kedudukan, jawatan dan latar belakang mereka.

Darwin Lim Chee Chien
Naib Ketua AMK Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang
Setiausaha Biro Guaman dan Undang-undang AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up