Carian
August 11, 2021

Hentikan Penindasan Terhadap Kebebasan Bersuara Rakyat Dalam Mengkritik Ahli Politik Di Malaysia

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah bersama Biro Guaman dan Undang-Undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menggesa Menteri Besar Kedah, YAB Muhammad Sanusi Md Nor dan pihak Polis Diraja Malaysia supaya menghentikan segera tindakan yang menindas kebebasan bersuara rakyat.

Ini adalah berhubung dengan kes empat orang individu yang ditahan atas dakwaan hina terhadap Menteri Besar Kedah, di mana pihak polis telah menangkap dan menyiasat individu-individu tersebut dengan beberapa Akta seperti Akta Kesalahan Kecil 1955, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi ndan Multimedia 1998 atas komen dan kritikan mereka di laman web sosial terhadap gurauan kasar Sanusi tentang kontena jenazah pesakit Covid-19.

Dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan menghormati hak kebebasan, setiap pemimpin politik yang diberi mandat oleh rakyat harus bertanggungjawab ke atas rakyat dan rakyat seharusnya mempunyai hak dan kuasa untuk mengkritik tindakan serta keputusan ahli politik.

Kami berpendapat bahawa penggunaan beberapa Akta tersebut untuk menyiasat individu-individu terbabit merupakan satu penindasan terhadap kebebasan bersuara dan juga merosakkan konsep semak dan imbang (check and balance) rakyat terhadap kerajaan.

AMK khuatir tindakan pihak Polis ini akan menimbulkan 'culture of fear' yang akan menyebabkan rakyat tidak lagi berani mengamalkan hak mereka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Siasatan pihak Polis terhadap mereka merupakan satu tindakan yang zalim serta telah melanggar kedaulatan undang-undang negara kita atas kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh hal yang demikian, kami menggesa pihak Polis supaya hentikan segera penggunaan Akta-akta tersebut terhadap individu-individu terbabit. Menteri Besar Kedah harus mengambil tanggungjawab yang penuh terhadap insiden ini dan memohon maaf kepada rakyat atas kegagalan beliau dalam menunjukkan teladan yang baik sebagai seorang pemimpin kerajaan.

Mohammed Firdaus Johari
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah

Darwin Lim Chee Chien
Setiausaha Biro Guaman dan Undang-Undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up