Carian
August 12, 2021

Apakah Status Siasatan Terhadap Seorang ADUN PN?

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengambil maklum akan satu kes jenayah seksual melibatkan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham.

Kami ingin mempersoal mengapa pihak Polis belum mengambil sebarang tindakan selepas sembilan bulan kes berkenaan dilaporkan. Adakah terdapat campur tangan politik dalam kes ini?

Mangsa telah membuat laporan polis pertama pada 5 Disember 2020 yang mendakwa dua lelaki merogolnya, namun menarik balik laporan pada 8 Disember 2020 kerana mendakwa diugut. Mangsa bagaimanapun berubah fikiran dan meminta siasatan dilakukan pada Januari.

Mangsa juga membuat laporan polis kedua pada 8 Mei 2021 dan mendakwa Hilman ‘merancang’ insiden tersebut setelah makan malam sempena sambutan hari jadi dan sesi karaoke di sebuah hotel di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Semalam sekali lagi Wanita berkenaan tampil ke IPK Kuala Lumpur bersama peguam beliau untuk mengetahui perkembangan kes berkenaan. Ini selepas surat mereka sebelum ini tidak mendapat sebarang maklum balas dari pihak Polis. Menurut peguam wanita berkenaan, satu saman akan difailkan jika surat terbaru hari ini tidak dijawab dalam masa tujuh (7) hari.

AMK menggesa pihak polis untuk telus dalam menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang individu terbabit. Sebarang aduan melibatkan jenayah seksual perlu diambil perhatian tegas dan segera.

Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan integriti pihak polis dan sistem perundangan negara. Pihak polis perlu segera menyelesaikan siasatan terbabit seterusnya mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan walaupun ia melibatkan Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia tidak sepatutnya mengambil masa siasatan yang terlalu lama kerana hasil siasatan perlu dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan agar nasib Mangsa dapat dibela. Ketelusan pihak Polis penting dalam memberi jaminan kepada rakyat bahawa badan penguasa dan sistem perundangan di negara ini selamat buat marhaen yang menjadi mangsa "orang-orang besar".

SYUKRI RAZAB
Setiausaha
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up