Krisis pengangguran akan semakin teruk jika pelan pemulihan krisis pandemik dan krisis ekonomi gagal. Ini berikutan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional menangani pandemik serta sistem pengurusan yang tidak teratur.
Sehingga Jun 2021 seramai 768,700 rakyat Malaysia menganggur yang mana lebih separuh merupakan golongan belia. Ini menunjukkan peningkatan 4.8% dan ini tidak termasuk tambahan jumlah pengangguran selepas banyak sektor ekonomi ditutup ketika pelaksanaan Darurat oleh kerajaan yang berkuat kuasa Jun lalu.
Pada Julai, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Sri Dr. Wan Junaidi berkata sebanyak 580,000 syarikat mewakili 49% daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) berdepan risiko gulung tikar menjelang Oktober dan perkara ini bakal menjejaskan hampir tujuh juta pekerja.
Pihak AMK sendiri dalam #KempenBenderaPutihAMK menerima banyak permohonan bantuan bakul makanan yang mana 70% daripadanya hilang pekerjaan selain perniagaan gulung tikar.
Negara amat memerlukan sebuah kerajaan yang kompeten dengan pemimpin yang mampu memandu negara keluar dari krisis pengangguran.
Punca krisis pengangguran yang semakin meruncing berpunca dari kedegilan kerajaan untuk melakukan sekatan penuh sektor ekonomi dan sosial. Sekatan sementara ini mampu mengeluarkan negara dari krisis pandemik seterusnya fokus kepada pemulihan ekonomi.
Fasa pemulihan ekonomi akan membuka sektor perniagaan untuk beroperasi sekaligus membuka lebih peluang kerajaan. Ini dapat mengurangkan pengangguran di negara.
Namun malangnya perkara ini tidak dilaksana. Tahun lalu sahaja Investasi Asing Langsung atau Foreign Direct Investment (FDI) Malaysia turun sebanyak 54.8%.
Pada AMK, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin yang sesuai mengemudi pentadbiran negara. Beliau bukan sahaja sering membentangkan permasalahan berkaitan pengangguran, malah beliau juga telah siap dengan perancangan untuk mengurangkan pengangguran dalam tempoh pandemik ini.
Malaysia sepatutnya sudah berjaya keluar dari krisis pandemik serta krisis ekonomi jika negara ini dipimpin oleh individu yang layak. Seperti beberapa negara yang berjaya keluar dari pandemik, hari ini negara-negara berkenaan sedang rancak memulihkan ekonomi sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan jumlah pengangguran.
AMK amat yakin akan kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi negara ini, AMK sendiri akan membawa isu ini kepada beliau untuk diselesaikan segera.
THIBAN SUBBRAMANIAM
NAIB KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA