Carian
October 26, 2021

Menteri KBS Perlu Pandang Serius Kes Gangguan Seksual Terhadap Atlet Negara

Ketika isu gangguan seksual sedang hangat diperkatakan, Ratu Sukan Terjun Negara, Datuk Pandalela Rinong pula tampil bersuara dengan mendedahkan bahawa beliau juga pernah menjadi mangsa lawak lucah yang dilakukan bekas jurulatih beliau selama tujuh tahun.

Menerusi pendedahan melalui ciapan di laman Twitter, beliau menulis bahawa beliau terpaksa berdiam diri atau terpaksa ketawa kerana takut terhadap jurulatih itu.

Kita mengharap maklum balas segera dari Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi menggesa siasatan atas pendedahan Pandalela. Namun, amat mengecewakan apabila Menteri tersebut hanya mempersoal mengapa baru sekarang Pandalela menghebohkan perkara ini.

Menteri sepatutnya memahami situasi Pandalela sebagai mangsa dan tidak perlu mempersoalkan mengapa baru sekarang Pandalela bersuara. Alangkah baik jika beliau memberi sokongan kepada atlet seperti Pandalela yang berani tampil bersuara serta berkerjasama dengan beberapa pihak bagi menyiasat perkara ini.

Tambahan lagi, Menteri tidak sepatutnya memperlihatkan isu ini seperti isu kecil sedangkan isu ini sering membelenggu atlet negara. Kita melihat pendedahan demi pendedahan dilakukan dan kita tidak menolak kemungkinan gangguan seksual samada melalui sentuhan atau secara lisan masih berlaku.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menghormati dan memandang tinggi keberanian mangsamangsa ini bersuara dan berharap mangsa-mangsa lain samada pernah diganggu secara seksual atau sedang diganggu untuk tampil bersuara. AMK tidak akan berkompromi terhadap isu gangguan seksual dan mengambil pendirian bahawa perkara ini perlu
dipandang serius.

Ini penting bagi memastikan suasana yang harmoni di semua tempat termasuk di pusat latihan atlet dan pelaku tidak boleh diberi ruang sehingga menakutkan generasi pelapis atlet negara akan datang.

Pada masa yang sama, AMK menyarankan agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mewujudkan saluran pemberian maklumat (whistleblowing channel) yang komprehensifuntuk menerima aduan dan maklumat berkaitan kes-kes seperti kes gangguan seksual terhadap atlet negara. Ini bagi membolehkan atlet yang memberi maklumat dilindungi dan seterusnya menjamin keselamatan atlet negara kita.

Sekian.
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up