Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengambil maklum isu 144 Atlet Negara yang diberhentikan daripada Program Latihan Majlis Sukan Negara (MSN). Difahamkan Atlet yang telah mencipta sejarah untuk negara dalam pertandingan peringkat antarabangsa juga turut diberhentikan kerana kekurangan dana.
Menurut MSN, perkara ini diputuskan selepas program ini tidak diberi peruntukan dalam Belanjawan 2022. Belanjawan 2022 menyaksikan industri sukan hanya diperuntukan Rm244 juta.
Daripada 432 keseluruhan hanya 288 atlet dikekalkan yang berpotensi untuk memenangi pingat di Sukan SEA di Vietnam, Sukan Komanwel di Birmingham dan Sukan Asia di Hangzhou tahun ini.
Juara dunia pertama sukan terjun Malaysia, Cheong Jun Hoong juga menjadi mangsa apabila turut diberhentikan dengan alasan prestasi kurang memberansangkan sejak 2018 serta faktor usia.
Adakah kita hanya perlu fokus kepada atlet untuk memenangi pingat sahaja sedangkan negara perlu bersedia melahirkan atlet pelapis yang berpotensi?
Kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada atlet samada dari segi kebajikan serta pembangunan sukan terutama latihan untuk para Atlet.
Kementerian Belia dan Sukan perlu bijak dalam menggunakan peruntukan sedia ada dan fokus kepada pembangunan sukan, bukannya kepada perkara yang kurang keperluan.
Kita faham peruntukan untuk industri sukan dikurangkan bagi memberi fokus kepada Covid-19 serta pembangunan ekonomi, namun adalah lebih baik dengan dana yang terhad ini sebarang pembangunan infrastruktur yang kurang penting perlu ditangguh sementara.
AMK menggesa pihak kerajaan mempertimbang semula pemotongan dana kerana perkara ini menjejaskan pembangunan sukan negara apatah lagi dalam usaha negara mencari atlet pelapis selain prestasi sukan negara yang merundum.
Adalah lebih baik kerajaan berhenti membazir jutaan ringgit melalui lantikan Duta Khas Bertaraf Menteri yang langsung tidak berfungsi. Sebarang lantikan yang membawa kepada pembaziran perlu dibatalkan dan pulangkan semula peruntukan kepada industri sukan agar negara mampu menghasilkan atlet bertaraf dunia.
CHUA WEI KIAT
ADUN RAWANG
SETIAUSAHA PENGELOLA AMK
KETUA AMK SELANGOR