Carian
February 28, 2024

AMK Rai Usaha Konstruktif Terkait Agenda Reformasi

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyambut baik usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta semua pihak khususnya kumpulan-kumpulan masyarakat sivil yang konsisten mengangkat wacana reformasi hari ini dalam apa saluran sekali pun. 

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sejak dari awal penubuhannya sentiasa komited dan tidak sedikit pun berpaling daripada agenda membawa perubahan dan memperjuangkan reformasi institusi.

Sepanjang setahun pentadbiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden KEADILAN bersama barisan Kabinet beliau, tidak sedikit penambahbaikan dan reformasi urus tadbir negara diperkenalkan sesuai prinsip yang diperjuangkan selama ini. 

Mencapai sesebuah reformasi adalah jalan panjang dan akan sentiasa berliku. Ada usaha-usaha berterusan yang bertujuan untuk mengukuhkan prinsip asas reformasi dalam pentadbiran negara hari ini termasuk antara lainnya Prime Minister Question Time (PMQT) di Parlimen selaras prinsip kebertanggungjawaban terhadap kuasa yang diperuntukkan kepada seorang Perdana Menteri. 

Begitu juga dengan lulusnya beberapa Rang Undang-Undang penting yang bertujuan untuk melindungi kepentingan rakyat sesuai tuntutan masyarakat sivil selama ini seperti RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, RUU Anti-Menghendap (Anti-Stalking), RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan), RUU Kawalan Produk Merokok serta beberapa lain yang memberi impak kepada perlindungan kepentingan awam. 

Tidak ketinggalan usul kecaman terhadap kekejaman Zionis Israel, Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif serta penubuhan tiga jawatankuasa pilihan khas Dewan Negara meliputi Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Anti Rasuah, Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat. 

Disamping itu juga, beberapa pindaan turut diusahakan seperti Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak 2007 serta pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara sepanjang hayat. 

Berhadapan dengan beberapa cabaran dari sudut keyakinan awam ke atas institusi pentadbiran dan kehakiman, kerajaan telah pun menyatakan komitmen jangka panjang berkait pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai usaha memulihkan integriti sistem negara.  

AMK percaya usaha melaksanakan reformasi adalah tidak mudah, dan memerlukan semangat serta iltizam politik yang tinggi daripada seluruh barisan kepimpinan Kerajaan. 

Namun begitu, reformasi institusi ini harus dilaksanakan secara berperingkat serta penuh hikmah, agar perubahan dapat direalisasikan dengan jaya dan berkesan - bukanlah bersifat populis semata-mata. 

AMK mengiktiraf semangat demokrasi buat mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyatakan dokongan ke atas agenda reformasi ini, selaras dengan idealisme dan perjuangan parti. Kami yakin semua pihak sentiasa menghormati dan melindungi hak perlembagaan rakyat untuk berekspresi termasuk berhimpun secara aman dan bebas. 

Sebagai sayap parti pemuda Kerajaan Madani, kami terbuka serta mengalu-alukan perbincangan yang konstruktif dengan semua pihak agar agenda reformasi ini dapat diangkat dan dijayakan dengan sebaiknya.

Sesungguhnya kami percaya bahawa BERSIH perlu mendokong usaha Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik yang sebenarnya penting dalam usaha mencapai matlamat-matlamat di atas.  

Kestabilan politik ini juga adalah kunci kepada pemulihan ekonomi yang turut sebenarnya harus dititikberatkan sebagai keperluan mustahak untuk melihat reformasi yang berkesan. Kesenjangan dan ketidakadilan ekonomi hanya akan mematahkan cita-cita demokrasi yang diperjuangkan masyarakat sivil.

Oleh yang demikian, kami menyeru pihak BERSIH untuk tidak hanya terhenti setakat berhimpun untuk menuntut, sebaliknya juga bersedia menghulurkan tangan membantu Kerajaan untuk mencapai pelaksanaan agenda reformasi bersama-sama bagai aur dengan tebing.

NABIL HALIMI

KETUA PENERANGAN 

ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA (AMK)

Related Posts
crossmenuchevron-up