Carian
April 1, 2024

Dr Akmal, Jangan Lempar Batu Sembunyi Tangan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengambil serius akan rentetan siri-siri kebakaran cawangan KK Mart akibat unsur sabotaj daripada pihak tertentu. Sudah kami tegaskan sebelum ini bahawa, seorang pemimpin politik harus meredakan suhu api ketegangan kaum masyarakat kita yang majmuk dan bukan sebaliknya.

Namun, Dr Akmal Saleh seolah-olah masih berdegil dan sehingga kini beliau masih berdalih dan tidak mengakui kesan disebabkan keghairahan dan keterlanjurannya dalam isu ini.

AMK menggesa Dr Akmal Saleh untuk mengambil tanggungjawab atas ketegangan masyarakat yang semakin berlarutan yang mula disemarakkan menerusi gesaan beliau untuk memboikot perniagaan tersebut.

Agama Islam harus ditegakkan dengan hikmah dan bukannya dengan kemarahan yang berlebihan. Janganlah kerana sikap melampau kamu, negara ini binasa. Sabda Nabi Muhammad SAW "Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap melampau mereka dalam beragama" (Riwayat Ibn Hibban).

Pemimpin muda harus radikal menjadi penyatu idealisme bangsa Malaysia dan bukannya menjadi pemecah fabrik sosial negara ini yang sudah dibina dengan asas yang kukuh oleh bapa-bapa negara bangsa Malaysia.

Justeru, AMK menyeru kepada seluruh masyarakat untuk kekal bertenang serta beri ruang dan kepercayaan yang sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan tugas mereka dalam menyelesaikan kes ini. Kekalkan keamanan dan kerukunan hidup aman damai yang sekian lama sudah menjadi asas dan kekuatan negara kita yang berbilang bangsa.

NABIL HALIMI

KETUA PENERANGAN

ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

Related Posts
crossmenuchevron-up