Carian
August 19, 2024

Harapan Pahang Menggesa Siasatan Terperinci Dan Tegas Terhadap Mahiaddin

1. Pihak Pakatan Harapan (PH) Pahang ingin merujuk kepada ucapan yang dibuat oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan dengan dakwaan yang dibuat terhadap Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 16, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa siri kempen PRK DUN Nenggiri Kelantan.

2. Kami berasa sungguh dukacita dan terkilan dengan ucapan tersebut yang membawa maksud seolah-olah pelantikan Perdana Menteri ke 10 telah dibuat tanpa menurut perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada sedangkan pihak Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong telah melakukan segala tindakan berpandukan kepada undang-undang negara dan telah meminta pandangan pelbagai pihak termasuklah Majlis Raja-Raja Melayu melalui satu persidangan khas membincangkan perkara tersebut.

3. PH Pahang juga menggesa supaya siasatan terperinci dan tegas dibuat terhadap Presiden PN dan mendesak beliau, Tan Sri Mahiaddin bin Md Yassin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak Istana Pahang atas keterlanjuran kata-kata yang beliau ungkapkan.

4. PH Pahang juga mendesak supaya kepimpinan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang yang diketuai oleh YB Dato Seri Tuan Ibrahim bin Tuan Man untuk mengambil satu pendirian yang tegas samada menyebelahi dan membela pihak Istana Pahang atau sebaliknya kerana perkara ini melibatkan airmuka dan maruah rakyat Pahang yang sentiasa menjunjung titah Baginda Sultan yang menjadi Payung Negeri.

YB SENATOR HAJAH FUZIAH BINTI SALLEH

Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Pahang

Related Posts
crossmenuchevron-up