Berikutan situasi banjir yang sedang melanda dan dijangka berterusan di beberapa kawasan seluruh negara, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah mengambil keputusan untuk menangguhkan Kongres Wanita, Kongres AMK, dan Kongres Nasional KEADILAN 2024 ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keperluan untuk memberi keutamaan kepada kebajikan anggota parti, sukarelawan, serta rakyat yang sedang berdepan musibah banjir. KEADILAN komited untuk memainkan peranan aktif dalam membantu mangsa banjir melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan yang sedang dan akan terus digerakkan oleh parti.
Pada masa yang sama, MPP telah memutuskan bahawa satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan Parti akan tetap diadakan pada 15 Disember2024. Pelaksanaan Kongres Khas ini akan diadakan di Negeri Selangor, dan butiran lokasi akan dimaklumkan oleh Pejabat Setiausaha Agung dalam masa terdekat.
KEADILAN ingin menyeru semua pihak, termasuk anggota parti, untuk terus memberikan sokongan dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir.
Semangat solidariti dan keprihatinan adalah asas kepada perjuangan kita sebagai sebuah parti reformasi yang sentiasa berpihak kepada rakyat.
Sebarang perkembangan terkini berhubung Kongres Nasional dan Kongres Khas akan dimaklumkan melalui saluran rasmi parti.
Dr. Fuziah Salleh
Setiausaha Agung KEADILAN