Carian
May 26, 2021

Akta Gangguan Seksual Perlu Disegerakan, Rina Harun Dituntut Memberi Penjelasan Menyakinkan

1. Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menuntut penjelasan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkenaan sejauh mana usaha penggubalan Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual yang telah dimulakan oleh YB Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan sepatutnya dibentangkan pada Mac 2020 dapat direalisasikan.

2. Ini susulan pendedahan menggemparkan dunia sukan tanah air oleh Saudari Cindy Ong, bekas atlet renang negara terkait isu gangguan seksual sewaktu sesi latihan ketika beliau masih remaja lagi yang mencemarkan imej negara.

3. Sebagai atlet bertaraf dunia yang telah memenangi pelbagai kejuaran daripada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA), pastinya pendedahan ini akan menarik perhatian peminat sukan antarabangsa yang sekaligus boleh mencalarkan imej Malaysia di pentas dunia.

4. Di atas sebab itu, ianya menuntut suatu tindak balas yang proaktif dan tegas daripada kementerian berkaitan untuk menyiasat dakwaan Saudari Cindy Ong yang secara tidak langsung memberi isyarat masih terdapat banyak lagi kes sebegini yang disenyapkan.

5. Kementerian Belia dan Sukan sudah tentu akan menjadi tumpuan untuk menjelaskan perkara ini, namun dalam masa sama kelompongan yang terdapat dalam perundangan negara juga perlu turut diberi perhatian serius yang mana hingga kini masih tiada akta khusus berkaitan gangguan seksual walaupun sudah lebih 20 tahun ianya diperjuangkan.

6. Oleh itu, YB Daruk Seri Rina Harun selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal penggubalan undang-undang berkaitan Akta Gangguan Seksual ini diminta untuk menjelaskan status usaha tersebut dan memberikan cadangan garis masa hingga RUU Akta Gangguan Seksual ini dapat direalisasikan.

7. Mana-mana atlet yang pernah mengalami kejadian serupa juga diminta untuk tampil ke hadapan dan AMK Malaysia bersedia menawarkan pembelaan kepada mereka demi membersihkan industri sukan negara daripada gejala tidak sihat sebegini.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up