Carian
August 14, 2021

AMK Kemukakan Laporan SPRM Secara Terbuka

Setelah meneliti Ucapan Khas Tan Sri Mahiaddin Bin Haji Md Yasin semalam, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) telah mendapati bahawa ucapan tersebut mengandungi unsur-unsur yang sesungguhnya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, memberi impak negatif kepada kedaulatan undang-undang dan menjejaskan kewibawaan institusi kerajaan di negara kita.

Dalam Ucapan tersebut, Tan Sri Mahiaddin Bin Haji Md Yasin dengan jelasnya mengakui bahawa beliau telah hilang kepercayaan majoriti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.
Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Walau bagaimanapun, daripada meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Bin Haji Md Yasin dalam Ucapan tersebut telah membuat pelbagai tawaran yang berbentuk sogokan kepada seluruh ahli Dewan Rakyat bagi mendapat sokongan mereka untuk membolehkan beliau kekal menjadi Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, AMK telah mengesyaki bahawa Tan Sri Mahiaddin Bin Haji Md Yasin telah melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia seperti yang berikut:

Seksyen 21 Penyogokan pegawai badan awam: Menawarkan suapan kepada seseorang pegawai badan awam sebagai dorongan agar pegawai itu mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana mesyuarat badan awam itu bagi menyokong atau menentang apa-apa langkah, ketetapan atau soal yang dikemukakan kepada badan awam itu.

Memandangkan unsur sogokan tersebut dibuat secara langsung di televisyen, maka AMK kemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara terbuka.

Oleh itu, AMK membuat laporan ini supaya siasatan dapat dijalankan ke atas Tan Sri Mahiaddin Bin Haji Md Yasin.

Sekian sahaja laporan AMK bertarikh 14 Ogos 2021.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

CHIEW CHOON MAN
Pengerusi Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up