Carian
July 25, 2021

AMK Menuntut Kerajaaan Memberi Perhatian Yang Serius Kepada Isu Doktor Kontrak

Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (MPAMK) Malaysia baru sahaja selesai menjalankan mesyuarat bulanan yang dipengerusikan oleh YB Akmal Nasir.

Perbincangan terkait dengan keadaan semasa Covid-19, sidang Parlimen khas yang akan bermula esok, soal pengurusan organisasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan juga isu-isu ekonomi anak muda khususnya.

Ekoran tular kes baru-baru ini yang melibatkan sebuah syarikat penghantaran makanan yang mengenakan cas perkhidmatan yang tinggi sehingga menjejaskan pendapatan para peniaga, AMK menggesa agar syarikat-syarikat ini berlaku lebih adil dengan meneliti kembali polisi dan cas perkhidmatan mereka bagi membantu kumpulan peniaga dan juga kumpulan ‘riders’ yang sedang cuba untuk ‘survive’ ketika pandemik Covid-19 ini.

Justeru itu, AMK Malaysia akan menggerakkan kempen #AMKSupportLokal di seluruh negara bagi membantu golongan-golongan peniaga anak muda khususnya bagi mempromosikan perniagaan mereka di samping dapat menambah pendapatan. Pada masa yang sama, AMK Malaysia berpendapat bantuan-bantuan kewangan yang diumumkan dalam pakej Pemulih perlu disegerakan bagi meredakan kesusahan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian.

Selain itu, AMK juga menuntut agar YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan perhatian yang serius kepada isu doktor kontrak yang kebanyakannya melibatkan kumpulan anak muda. Tuntutan mereka sebagai ‘fontliners’ yang telah banyak menghabiskan masa dan tenaga sejak tahun lalu bagi menangani pandemik Covid-19 tidak wajar dipandang enteng kerana ianya boleh menjejaskan sektor kesihatan negara di masa hadapan.

Akhir sekali, AMK Malaysia turut mendoakan agar sdr Shazni Munir, Ketua Pemuda Pakatan Harapan dan Pemuda Amanah yang kini berada dalam keadaan kritikal diberikan kesembuhan dengan segera daripada wabak Covid-19. MPAMK Malaysia juga bersetuju untuk menghulurkan sumbangan kepada keluarga beliau dengan harapan dapat membantu meringankan beban bagi mengharungi ujian ini insyaAllah.

SYUKRI RAZAB
Setiausaha
AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up