Carian
August 5, 2021

Apakah Justifikasi Perlantikan Ahmad Faizal Ketika Negara Berada Dalam Krisis Pandemik Dan Ekonomi Paling Teruk?

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menzahirkan rasa dukacita dengan pelantikan Timbalan Presiden PPBM, Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Penasihat Khas kepada YAB Perdana Menteri Bertaraf Menteri.

Ketika kes harian Covid-19 mencecah 20,000 kes sehari dan kematian akibat Covid-19 mencecah 10,000, YAB Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin terus bermain politik dengan mengagihkan jawatan dalam keadaan ekonomi negara sangat kritikal.

Apakah justifikasi perlantikan Ahmad Faizal Azumu ketika negara berada dalam krisis pandemik dan krisis ekonomi paling teruk?

Bagaimana orang politik terus diberikan habuan dalam keadaan pengangguran yang kian meningkat sehingga 22.5% dalam kalangan graduan?

Bagaimana pula dengan nasib puluhan ribu doktor kontrak yang masih tidak diserapkan dengan penjawatan tetap?

Berapakah wang rakyat perlu dihabiskan untuk menggaji seorang lagi Ahli Parlimen selepas Marang dan Bintulu bertaraf Menteri? Bila seseorang dilantik dengan lantikan bertaraf Menteri, kita bukan hanya bercakap soal gaji malah elaun-elaun lain termasuk kos pentadbiran.

Apakah keperluan lantikan ini ketika kerajaan baru sahaja melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dan mempunyai bilangan anggota kabinet yang paling besar dalam sejarah negara?

Apakah ini sebahagian daripada ‘scheme of things’ bagi memperkukuh kedudukan Perdana Menteri yang sehingga saat ini masih gagal membuktikan beliau mempunyai majoriti yang cukup untuk terus mentadbir Putrajaya.

Kegagalan kerajaan menangani wabak dan pemulihan ekonomi hari ini adalah kerana kerajaan sibuk berpolitik mengagihkan jawatan untuk kekal berkuasa.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up