Carian
January 26, 2022

Hentikan Intimidasi Terhadap Peserta Demo #TANGKAPAZAMBAKI

Saya mengambil maklum seramai lebih 50 peserta himpunan #TangkapAzamBaki akan disoal siasat oleh pihak polis. Saya juga dimaklumkan setakat ini pihak polis telah memanggil 19 individu untuk disoal siasat.

Saya melihat ini sebagai satu intimidasi serta cubaan untuk menakutkan anak muda yang telah turun ke jalanraya hujung minggu lalu.

Pada Sabtu lalu, himpunan yang sepatutnya diadakan di Dataran Merdeka bermula dari Sogo Kuala Lumpur terpaksa ditukar ke LRT Bangsar selepas kerajaan mengarahkan pihak
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup semua jalan masuk ke kawasan berkenaan termasuk menghalang keretapi Transit Aliran Ringan (LRT) daripada berhenti di beberapa stesen berhampiran.

Tindakan ini bukan sahaja menyusahkan orang awam malah para peniaga terutama di kawasan Masjid India dan Masjid Jamek Kuala Lumpur.Walaupun terdapat halangan yang hebat, anak muda daripada pelbagai latar belakang politik, NGO serta persendirian sanggup turun ke LRT Bangsar bagi menyatakan desakan agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disiasat dan diambil tindakan susulan kontroversi pemilikan saham atas nama beliau.

Saya secara peribadi mengecam keras intimidasi yang dilakukan terhadap anak muda yang bersuara melawan rasuah serta salahguna kuasa. Ini merupakan perjuangan anak muda
bagi mempertahankan prinsip serta integriti yang dilihat saban hari semakin tercalar terutamanya melibatkan institusi yang sepatutnya mencegah rasuah.

Saya juga ingin bertanya berapa banyak fail kes rasuah dan salahguna kuasa membabitkan pimpinan kerajaan hari ini yang dipegang oleh Azam Baki sehingga kerajaan mengerahkan lebih seribu anggota Polis serta melumpuhkan hampir separuh bandaraya Kuala Lumpur hanya untuk mempertahankan beliau?

Selepas berakhirnya himpunan tersebut, saya dimaklumkan bahawa terdapat beberapa anggota Polis menahan para peserta di laluan masuk LRT Bangsar serta mengambil maklumat kad pengenalan mereka. Adakah peserta yang bakal dipanggil selepas ini hasil daripada pemeriksaan berkenaan dengan tujuan untuk menakut-nakutkan anak muda yang hadir?

Oleh yang demikian, saya menggesa agar pihak Polis berhenti melalukan intimidasi terhadap kumpulan anak muda yang telah turun ke jalanraya untuk menyatakan bantahan
mereka terhadap amalan rasuah dan penyelewengan khususnya melibatkan Tan Sri Azam Baki.

Sebaliknya, siasatan yang telus dan tindakan yang tegas perlu diambil segera bagi memelihara integriti institusi SPRM seterusnya mengembalikan semula kepercayaan rakyatterhadap usaha menentang amalan rasuah di Malaysia.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up