Dengan menjadikan agenda memperkukuh operasi Angkatan Muka Keadilan (AMK) dan KEADILAN sebagai pertimbangan utama, AMK telah membuat satu ketetapan untuk menubuhkan semula Biro Mahasiswa AMK.
Ketetapan ini adalah diambil bagi memastikan keseragaman dan koordinasi segala usaha yang digarap bukan sahaja dalam usaha memantapkan pengkaderan tetapi termasuklah mengarusperdanakan KEADILAN supaya terus menjadi pilihan utama bagi segmen mahasiswa.
Bagi merealisasikan ketetapan penubuhan semula Biro Mahasiswa AMK, saya bersetuju untuk melantik Sdr. Muhammad Haziq Azfar Ishak sebagai Pengerusi Biro Mahasiswa AMK Malaysia yang baharu yang akan berkuat kuasa hari ini. Pelantikan beliau ini adalah melihatkan kepada latar belakang cemerlangnya yang aktif dalam aktivisme mahasiswa termasuklah sebagai mantan Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Sesi 2020/21. Beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya telah menyertai KEADILAN pada 16 September yang lepas dalam satu sidang media bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini aktif dalam gerakan masyarakat.
AMK juga mengalu-alukan kemasukan beberapa lagi individu dalam Biro Mahasiswa AMK termasuklah Sdr. Tan Ray Ming (mantan Timbalan Yang di-Pertua Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia), Sdr. Irfan Mahzan (mantan Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia), Sdri. Aqilah Zainuzi (mantan Timbalan Pengerusi Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaysia Sabah), Sdr. Chew Yi Suen (Presiden INTIMA) dan Sdr. Shukrul Khair (mantan Setiausaha Kerja Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya). Saya juga dimaklumkan akan lebih ramai aktivis mahasiswa yang akan menyertai Biro ini dan mengalu-alukan hasrat tersebut.
Sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, saya percaya kewujudan wadah seperti ini merupakan salah satu kebijakan yang penting dalam memastikan kekuatan ahli AMK dimaksimumkan sekali gus menjadi ikhtiar ampuh bagi melonjakkan sokongan dalam kalangan segmen mahasiswa terhadap KEADILAN, tambahan aktivisme merupakan salah satu nyawa dan nadi bagi KEADILAN.
Sekian.
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia