Carian
October 18, 2021

Pandora Papers, AMK Gesa Siasatan Segera Terhadap Pemimpin Terlibat

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengambil maklum sejak beberapa minggu lalu bukan sahaja negara malah dunia digemparkan dengan pendedahan 'Pandora Papers' oleh Konsortium Kewartawanan Siasatan Antarabangsa (ICIJ) di Washington, Amerika Syarikat.

Dokumen-dokumen ini mendedahkan skandal kewangan terbesar pemimpin-pemimpin dunia termasuk selebriti berkait harta luar negara dan pengelakkan cukai.

Beberapa pemimpin negara juga tersenarai dalam laporan berkenaan antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan keluarga ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Pendedahan ini seperti menunjukkan ketirisan yang berlaku sehingga berbilion wang negara dilarikan ke luar negara untuk kepentingan beberapa individu.

Namun amat pelik sehingga hari ini tidak ada tindakan dari pihak berkuasa atas pendedahan yang menggemparkan ini.

Di pihak AMK kita melihat banyak perkara boleh dilakukan berkait isu ini. Oleh kerana ia melibatkan beberapa individu berpengaruh, antara perkara yang perlu dilaksana adalah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat lebih dalam perkara ini dan mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan.

Sebelum PRU-14 lalu, Pakatan Harapan melalui INVOKE telah membawa beberapa calon Pakatan Harapan untuk melakukan pengisytiharan harta secara umum dan perkara ini dibawa ke Parlimen selepas Pakatan Harapan berjaya mentadbir Putrajaya. Ia sangat penting bagi mengekang unsur rasuah dan salahguna kuasa di kalangan wakil rakyat.

Beberapa undang-undang juga perlu diperkasa terutama berkait dana negara yang dibawa keluar demi kepentingan individu.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up