Carian
August 30, 2021

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke 64

64 tahun lalu detik paling bersejarah berlaku di bumi Malaysia apabila laungan keramat MERDEKA dilaungkan. Kemerdekaan yang dikecapi tidaklah melalui jalan yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang hari ini nikmatnya dirasai segenap rakyat.

Sambutan Kemerdekaan pada waktu itu dimaknai dengan pembebasan Tanah Melayu daripada cengakaman penjajah yang telah menindas masyarakat setempat dalam pelbagai bentuk demi mengaut keuntungan kekayaan hasil bumi negara.

Namun demikian, generasi baru anak muda perlu mencari makna baru bagi menghayati sambutan Kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos setiap tahun. Perkembangan politik dan ekonomi tanah air sejak beberapa dekad yang lalu telah mencetuskan pelbagai siri kebangkitan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan dan cengkaman.

Sebagai contoh, kempen #Lawan yang digerakkan sekumpulan anak muda baru-baru ini menzahirkan pegangan prinsip anak muda yang menolak corak pemerintahan yang tidak mementingkan soal urus tadbir yang baik dan ekonomi rakyat, khususnya ketika pandemik Covid-19 ini.

Percaturan politik yang berpanjangan sehingga menjejaskan usaha menangani kesan pandemik Covid-19 telah menyebabkan anak muda berdepan dengan masalah pengangguran dan kehilangan sumber pendapatan selain daripada isu kesihatan mental yang kian runcing.

Ekonomi dan kehidupan anak muda semakin tersepit, tatkala orang-orang politik sibuk mengagih jawatan dan kuasa.

Kes harian dan kematian akibat Covid-19 yang saban hari mencatatkan angka yang tinggi telah menimbulkan ketidaksenangan rakyat terhadap kegagalan kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyatnya.

Oleh yang demikian, generasi baru anak muda perlu menggerap erti semangat kemerdekaan yang baharu dengan menuntut sebuah kerajaan yang mementingkan nilai-nilai demokrasi dan kebajikan rakyat.

Tanggal 31 Ogos seharusnya menjadi tarikh untuk kita memperbaharui semangat dan iltizam kita bersama dalam usaha kita membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar bebas daripada sebarang bentuk cengkaman yang membebankan rakyat.

Semoga sambutan Kemerdekaan pada tahun ini lebih bermakna buat kita semua.

Walau dalam kesusahan menghadapi pandemik Covid-19, semangat toleransi dan sikap saling bantu-membantu antara kita walau berbilang kaum dan agama telah menjadi simbol kesatuan masyarakat Malaysia.

Semoga Allah melindungi dan memberikan rahmat buat seluruh rakyat Malaysia.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64, Malaysia.

Related Posts
crossmenuchevron-up