Carian
January 27, 2022

SKOR CPI 2021: Jika SPRM Ambil Serius, Selesaikan Kes Azam Baki Dahulu

Saya mengambil serius terhadap keputusan skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International-Malaysia (TI-M).

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.

Hal ini jelas mencerminkan bahawa sejak kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional merampas tampuk pemerintahan daripada Pakatan Harapan pada Mac 2020 yang lalu,
amalan rasuah dan salahguna kuasa kembali berleluasa.

Oleh yang demikian, rakyat mempersoalkan tindakan yang akan diambil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani kemerosotan ini seterusnya memastikan institusi SPRM benar-benar berperanan membenteras rasuah serta menjamin nilai-nilai integriti dalam keseluruhan sistem pentadbiran di Malaysia.

Saya berpandangan kurangnya tindakan dalam mereformasikan SPRM menjadi institusi antirasuah yang benar-benar bebas dan berada di bawah tanggungjawab Parlimen seperti
yang dicadangkan pada tahun 2015 turut menjadi salah satu faktor kepada kemerosotan kedudukan CPI.

Seperti yang telah digesa berulang kali sebelum ini oleh pelbagai pihak, SPRM perlu bertindak sebagai sebuah badan yang bebas dan diletakkan di bawah pemantauan Parlimen bagi menjamin semak dan imbang dalam institusi berkenaan. Ini juga penting bagi mengelakkan campur tangan pihak berkepentingan terutamanya dalam kes berprofil tinggi.

Justeru itu, kenyataan SPRM untuk mengambil perhatian serius berkenaan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 perlu dibuktikan melalui proses siasatan yang telus melibatkan
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang terpalit dengan krisis moral dan integriti.

Saya percaya ini adalah langkah permulaan yang wajar diambil oleh pihak kerajaan dan SPRM bagi membersihkan nama institusi berkenaan serta nama baik negara Malaysia di
peringkat antarabangsa. Tindakan SPRM yang menutup mata dan telinga terhadap kontroversi Azam Baki hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi
berkenaan.

Sekian.
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up