Carian
September 27, 2021

SPRM Perlu Kekal Sebagai Badan Bebas Yang Bersih Dan Berintegriti

Berhubung dengan penahanan tiga (3) pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan, saya menggesa agar satu siasatan segera dapat dibuat secara telus dan menyeluruh.

Menurut sumber-sumber yang telah dilaporkan di media, salah seorang suspek yang ditahan disifatkan sebagai ‘kebal’ kerana hubungannya dengan orang-orang ternama, selain turut diketahui sebagai ‘bermasalah’.

Kes seperti ini sudah semestinya mencalarkan imej SPRM yang sepatutnya mencerminkan tahap ketelusan dan integriti yang terbaik dalam sistem pentadbiran negara.
Oleh yang demikian, siasatan yang akan dijalankan oleh pihak polis perlu dibuat secara profesional dan berlunaskan prinsip undang-undang, tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Berikutan itu, SPRM perlu memastikan mereka yang terlibat tidak terlepas daripada tindakan undang-undang jika benar didapati bersalah hanya kerana mereka berpangkat dan mempunyai status. Tindakan tegas perlu diambil agar kejadian seperti ini tidak berulang.

Rakyat meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi terhadap institusi SPRM yang bebas untuk kekal bersih dan berintegriti dalam usaha untuk memerangi amalan rasuah yang kian membarah dalam kalangan ahli-ahli politik mahupun anggota masyarakat.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up