Carian
March 26, 2021

UNDI 18 SPR Usah Jadi Perkakas Politik PN

Perikatan Nasional semakin memperlihat sikap terdesak mereka mempertahankan kuasa hingga sanggup menggunakan apa jua cara dan helah demi mencapai matlamat tersebut.

Terkini kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 dengan alasan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberikan kekangan kepada SPR.

Alasan ini amat tidak masuk akal dan mengesahkan desas-desus selama ini bahawa terdapat usaha terancang untuk menggagalkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik daripada direalisasikan mengikut garis masa yang sepatutnya iaitu pada Julai 2021.

Ingin ditegaskan sekiranya usaha menggagalkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik diteruskan, ini adalah terang-terangan merupakan penghinaan terbesar terhadap parlimen serta sistem demokrasi negara dan sekaligus membelakangkan suara 2/3 ahli parlimen yang sebulat suara bersetuju agar usul ini diluluskan.

Tambah meragukan, Pengerusi SPR turut menyebut bahawa usul yang diluluskan di parlimen sebelum ini bertujuan untuk direalisasikan pada tahun 2023 sewaktu PRU ke-15. Agak hairan, bagaimana Pengerusi SPR mengetahui bila PRU ke-15 akan diadakan sedangkan Perdana Menteri memberikan komitmen bahawa PRU ke-15 akan dilaksanakan sebaik sahaja Pandemik COVID19 terkawal dan darurat berakhir. Adakah ini bermakna darurat akan dilanjutkan?

Angkatan Muda KEADILAN ingin menyeru kepada belia yang berumur 18 tahun pada Julai 2021 untuk bangkit bersuara di segenap medium media sosial yang ada untuk mempertahankan hak dalam lunas demokrasi yang sepatutnya menjadi milik anda namun telah dirobek demi ketamakan kuasa kerajaan yang dibina atas dasar pengkhianatan serta dipertikaikan keabsahannya.
Perikatan Nasional perlu hentikan segera tekanan terhadap SPR dan menjadikan agensi kerajaan sebagai perkakas politik demi mencapai kuasa. SPR diyakini mempunyai kemampuan dalam melaksanakan tugas serta perlu bebas menjalankan tanggungjawab dan amanah negara kepada mereka

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

CHUA WEI KIAT
ADUN Rawang
Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan Malaysia

THIBAN SUBRAMANIAM
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up