Carian
May 26, 2021

AMK Sedia Membantu Mangsa Kemalangan LRT Laluan Kelana Jaya

Biro Guaman dan Undang-undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengikuti rapat perkembangan insiden kemalangan yang melibatkan pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC. Kami menzahirkan rasa simpati dan dukacita kepada semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan ini.

Kemalangan LRT ini telah mengakibatkan seramai 47 penumpang mengalami cedera parah manakala 166 penumpang mengalami cedera ringan. 3 dari sejumlah ini telah mengalami pendarahan otak dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman, antara pampasan yang ditawarkan kepada 213 mangsa terbabit adalah bayaran khas sebanyak RM1,000 dan kos perubatan mangsa yang menerima rawatan di hospital.

Sehubungan dengan itu, Biro Guaman dan Undang-undang AMK Malaysia dengan kerjasama sekumpulan peguam bertauliah amat berbesar hati untuk menawarkan khidmat nasihat guaman kepada semua mangsa terbabit, sekiranya mereka ingin memahami hak individu masing-masing secara lebih lanjut di bawah undang-undang yang sedia ada.

Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua warga perubatan di Hospital Kuala Lumpur atas rawatan rapi yang diberi kepada semua penumpang selepas kemalangan. Kami juga menuntut agar laporan yang teliti mengenai kemalangan ini dapat diumumkan secepat mungkin oleh pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk meyakinkan orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam Malaysia.

Chiew Choon Man
Pengerusi
Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Malaysia

Gavin Way
Exco
Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up