Carian
August 8, 2021

Apa Perkembangan Terkini Kes Rasuah Xavier Jayakumar?

Pada 13 Mac lalu Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar mengumumkan peletakkan jawatan beliau selaku Naib Presiden Keadilan serta mengumumkan keluar dari parti. Beliau juga kemudiannya mengumumkan sokongan beliau terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

Sebelum itu pada Februari beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan rasuah. Namun sehingga hari ini SPRM masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung perkembangan siasatan kes terbabit.

Umum mengetahui dalam situasi kerajaan yang tiada keabsahan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, kita tidak menolak sebarang kemungkinan proses membeli Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong kerajaan yang sudah kehilangan majoriti sedang berlangsung.

Tanggapan umum juga memperlihatkan pemimpin politik yang terlibat kes rasuah akan terus 'diikat' dengan dakwaan selagi masih menyokong kerajaan. Setakat ini kerajaan PN telah menggugurkan lebih 70 kes rasuah dan salahguna kuasa membabitkan Ahli Parlimen dalam BN dan PN.

Dalam ketidaktentuan politik hari ini, SPRM sepatutnya lebih kerap berhubung dengan awam dan memaklumkan perkembangan siasatan kes berkenaan bagi mengelak tanggapan negatif bahawa dakwaan rasuah boleh 'disucikan' jika menyokong kerajaan.

Tindakan SPRM yang mendiamkan diri dan tidak memaklumkan perkembangan siasatan itu boleh menjurus kepada defisit kepercayaan tentang kebebasan agensi itu.

Adakah Xavier juga 'diikat' dengan kes beliau yang masih tergantung agar beliau terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan Mahiaddin Yassin?

THIBAN SUBBRAMANIAM
Naib Ketua AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up