Carian
August 7, 2021

Jawapan "Lawak Bodoh" Isu Kontena Jenazah: MB Kedah Perlu Minta Maaf

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah melahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan media yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, YAB Muhammad Sanusi Md Nor mengenai isu kontena bagi jenazah pesakit Covid-19.

Semalam telah tular satu rakaman video dalam sidang media yang melibatkan YAB Menteri Besar Kedah menjawab pertanyaan dari seorang wartawan. Jawapan lawak bodoh dari beliau ialah “Kontena jenazah mencukupi, sapa nak masuk bagi nama”. Sidang media tersebut diadakan selepas YAB Menteri Besar Kedah melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pertama Negeri Kedah di Amanjaya Sports Arena Sungai Petani pada 6 Ogos 2021.

Ekoran kenyataan YAB Menteri Besar Kedah itu, AMK Kedah menuntut agar beliau membuat permohonan maaf secara terbuka, khususnya terhadap rakyat Kedah. Respon yang dibuat adalah sangat biadap, kurang ajar dan tidak sensitif dengan rakyat yang telah kehilangan ahli keluarga dengan menjadikan isu kematian sebagai bahan jenaka. Mungkin akan ada penyokong tegar dari parti PAS yang akan mempertahankan YAB Menteri Besar Kedah dengan mengatakan jenaka tersebut ialah cara beliau menyindir rakyat Kedah yang tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP). AMK Kedah ingin mengingatkan bahawa sebaliknya YAB Menteri Kedah adalah individu yang telah melanggar SOP dan dikenakan kompaun berhubung kes memandu uji kereta di pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Seberang Perai, pada 5 Jun 2021 yang lalu.

Selain itu, merujuk kepada laporan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, sebanyak 53,474 jumlah kes Covid-19 telah dicatatkan di Negeri Kedah di mana 22 kes kematian baharu dilaporkan semalam. Sehubungan dengan pengumuman dan angka besar yang dibanggakan oleh YAB Menteri Besar Kedah mengenai kemasukan pelaburan asing (FDI) yang diluluskan berjumlah RM42.4 bilion setakat suku pertama tahun 2021, AMK Kedah turut menggesa agar Kerajaan Negeri memperuntukkan bantuan kewangan ke hospital di seluruh negeri bagi membeli kelengkapan tambahan hospital seperti katil, tabung oksigen, kontena dan sebagainya dalam usaha untuk menambah baik pengurusan pandemik Covid-19, khususnya di Negeri Kedah.

FIRDAUS JOHARI
Ketua AMK Kedah

Related Posts
crossmenuchevron-up