Carian
September 28, 2022

KOS PENGAJIAN TINGGI TERUS MENINGKAT, KERAJAAN DIGESA MENGALIHKAN PERBELANJAAN PENDIDIKAN YANG BERFOKUSKAN KEPADA KANDUNGAN PENGAJIAN

1. Beberapa laporan akhbar tempatan dalam beberapa hari kebelakangan ini melaporkan krisis penempatan yang dihadapi oleh mahasiswa beberapa universiti awam termasuk di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) apabila tempat penginapan untuk mahasiswa tidak mencukupi secara signifikan.

2. Tambahan pula, peningkatan kos sara hidup secara menyeluruh yang disumbangkan beberapa faktor termasuk melalui peningkatan inflasi turut mengakibatkan kos pengoperasian universiti meningkat yang menatijahkan kenaikan yuran pengajian dan kos yang terpaksa ditanggung mahasiswa ketika menjalani pengajian mahupun selepas menamatkan pengajian, melalui hutang pinjaman pendidikan yang tinggi.

3. Hal ini mengakibatkan graduan lepasan universiti perlu menanggung hutang yang cukup tinggi dengan jumlah hutang pinjaman kini melebihi RM40 bilion dan menurut unjuran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan perbelanjaan secara purata sebanyak 55% daripada jumlah pendapatan ibu bapa untuk pendidikan tinggi anak-anak.

4. Permasalahan-permasalahan ini akan berterusan sekiranya tumpuan perbelanjaan di peringkat pengajian tinggi hanya tertumpu kepada pembangunan institusi fizikal termasuk menumpukan pembinaan bangunan dan fasiliti di universiti yang tinggi kosnya semata-mata tanpa mengalihkan fokus kepada pembangunan kandungan pengajian tinggi yang berkualiti termasuklah akses terhadap kandungan pengajian.

5. Oleh yang demikian, kerajaan dicadangkan melipatgandakan usaha mengalihkan fokus perbelanjaan pendidikan tinggi kepada meningkatkan mutu dan akses kandungan pengajian tinggi secara berperingkat dalam jangka masa panjang termasuklah secara beransur-ansur meneroka kaedah pengajian secara hibrid dan pengajian secara dalam talian sebagai mod pengajian utama sekali gus dapat menjimatkan kos pengajian tinggi dalam jangka masa panjang.

6. Dalam masa yang sama, kerajaan digesa mempercepat pertumbuhan ekosistem digital termasuklah akses internet yang baik di seluruh negara di samping mengalihkan kos perbelanjaan pendidikan tinggi dengan menyediakan peranti digital kepada mahasiswa yang memerlukan bagi mempersiapsiagakan mahasiswa ke arah kaedah pengajian secara hibrid dan pengajian secara dalam talian.

7. Permasalahan status quo seperti kesenjangan akses internet sebanyak 15% antara kawasan luar bandar dan bandar seperti yang dilaporkan oleh dapatan Jabatan Perangkaan Negara perlu diselesaikan dengan segera. Dapatan sama yang melaporkan bahawa akses internet bagi setiap rakyat Malaysia yang meningkat skor sebanyak 5 peratus iaitu daripada 91.7% pada tahun 2020 jika dibandingkan 87% pada tahun 2018 menunjukkan bahawa kita mempunyai keupayaan untuk melaksanaan hal ini dalam sedikit masa lagi sementara aspek kesenjangan akses internet diselesaikan secara berperingkat.

8. Usaha mengalihkan mod pengajian secara hibrid dan secara dalam talian ini juga walaupun hanya mampu dilaksanakan dalam jangka masa yang panjang tetapi sebarang perancangan dan pelaksanaan perubahan dan fokus perbelanjaan sejak dari peringkat awal amatlah penting bagi mengalihkan pembelajaran ilmu daripada kebergantungan kepada institusi fizikal dan kemampuan kewangan semata-mata.

Sekian.

MOHAMAD TAUFIQ ISMAIL
Ketua AMK Johor

Related Posts
crossmenuchevron-up