Saya merujuk satu laporan berita seperti yang dilaporkan Malaysiakini bertajuk "Apa Jaminan Anwar Parlimen Tak Diguna Untuk Politik Peribadi". Rujuk https://m.malaysiakini.com/news/581480
Dalam laporan ini, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendakwa desakan untuk diadakan sidang Parlimen adalah bagi memenuhi agenda peribadi Anwar Ibrahim.
Beliau juga menyifatkan keghairahan sesetengah pihak khususnya Anwar Ibrahim mendesak untuk sidang Parlimen disegerakan adalah bertujuan untuk menggugat kestabilan politik.
Kenyataan Wan Saiful ini hanya menunjukkan situasi terdesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang semakin hari dilihat semakin gagal. Bagi menutup ketakutan PN untuk mengadakan sidang Parlimen, akhirnya mereka terpaksa berlindung dengan pelbagai alasan yang dangkal dan tidak logik.
Desakan untuk sidang Parlimen diadakan segera bukan semata-mata dibuat oleh Anwar Ibrahim dan pihak pembangkang, tetapi turut disuarakan oleh rakan koalisi Perikatan Nasional sendiri iaitu UMNO.
Malah Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong juga sudah dua kali bertitah agar sidang Parlimen segera diadakan.
Agak menjengkelkan apabila Wan Saiful cuba membangkitkan isu desakan untuk diadakan sidang Parlimen ini sebagai usaha untuk mensabotaj kestabilan politik Kerajaan.
Walhal rakyat Malaysia sudah cukup faham betapa darurat ini sedang ditunggang oleh PN bagi memanjangkan hayat politik mereka yang sememangnya tidak pernah stabil.
Ketakutan untuk memanggil sidang Parlimen juga sebenarnya menjadi petunjuk betapa Perdana Menteri sendiri tidak menyakini sokongan yang beliau miliki. Apakah ini yang dikatakan sebagai Kerajaan yang stabil oleh Wan Saiful?
Adalah sangat ironi apabila Wan Saiful seolah-olah menyerahkan kepada Anwar Ibrahim untuk memastikan sidang Parlimen dapat berjalan dengan aman. Apakah beliau sendiri sudah tidak yakin dengan kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia?
Adalah lebih baik untuk Wan Saiful tidak menegakkan benang yang basah dan sama-sama mendesak agar sidang Parlimen diadakan segera bagi memboleh dasar-dasar yang melibatkan kepentingan rakyat dibahaskan.
Syukri Razab
Setiausaha AMK Malaysia