Carian
July 10, 2021

Muhyiddin Perlu Jadi Pemimpin Bermaruah

Muhyiddin Yassin dalam suatu pengumuman berkenaan pengurusan pandemik suatu ketika dahulu pernah menyebutkan bahawa beliau sedar bahawa kerajaan beliau bukanlah kerajaan pilihan rakyat. Ucapan beliau itu adalah satu usaha untuk beliau merayu kepercayaan rakyat setelah beliau secara tiba-tiba menjadi Perdana Menteri hasil pengkhianatan Langkah Sheraton.

Namun sikap Muhyiddin hari ini jelas menunjukkan beliau adalah tidak lebih daripada seorang ‘haiwan politik’ yang terlalu sayangkan kuasa walaupun telah jelas beliau tidak lagi memiliki sokongan daripada rakan gabungan Kerajaan sendiri.

Pengumuman rasmi UMNO melalui Presidennya Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menarik kembali sokongan kepada Perdana Menteri sepatutnya telah menyebabkan Muhyiddin Yassin berundur secara bermaruah.

Muhyiddin wajar mencontohi Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte yang telah meletakkan jawatan pada Januari tahun ini setelah berdepan dengan masalah sokongan daripada anggota senat. Beliau berdepan dengan tentangan daripada Italia Viva iaitu parti yang menjadi rakan koalisi beliau sendiri dalam Kerajaan. Walaupun beliau masih memiliki sokongan majoriti mudah, tetapi beliau masih memilih untuk berundur kerana merasakan Kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik akibat perbalahan dalaman antara parti kerajaan.

Antara kritikan yang diterima Conte ialah ketiadaan pelan yang jelas daripada Kerajaan dalam mengurus dan menyelesaikan masalah pandemik yang masih berterusan. Itali mengalami peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 pada penghujung 2020 sehingga kes baru harian mencatat angka 40,000 kes. Kegagalan mengurus pandemik ini menjadi punca Conte berdepan kritikan hebat daripada masyarakat termasuk rakan koalisi parti kerajaan sendiri.

Keadaan politik Itali ini sangat mirip dengan situasi politik di Malaysia. Kerajaan Malaysia sememangnya telahpun dilihat gagal mengurus pandemik Covid-19 secara berkesan. Pada 9 Julai 2021, kes jangkitan Covid-19 mencatat rekod baru apabila mencecah 9000 kes baru sehari. Pakej bantuan rakyat pula kebanyakannya hanya kedengaran gah semasa pengumuman tetapi tidak signifikan dalam melegakan beban ekonomi rakyat. Kemudian kita juga sering mendengar kes bunuh diri yang dilaporkan hampir setiap hari. Semua ini berlaku dalam keadaan Kerajaan Muhyiddin Yassin telahpun menguatkuasakan Perintah Darurat selama lebih 6 bulan.

Pengumuman UMNO baru-baru ini sebenarnya sudah melengkapkan kriteria untuk Muhyidin berundur secara terhormat. Muhyidin perlu meletakkan kepentingan negara melebihi kehendak peribadi beliau. Malaysia memerlukan keadaan politik yang kukuh dan stabil bagi memastikan rakyat Malaysia dapat dipimpin untuk keluar daripada kebuntuan pandemik.

Di saat-saat genting ini Muhyidin sepatutnya masih boleh menunjukkan sedikit langkah bermaruah dengan melatak jawatan dengan serta merta.

Syukri Razab
Setiausaha AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up