Carian
September 1, 2022

SOKONG KEADILAN DEMI TEGAKKAN KEADILAN UNTUK ANAK SARAWAK

Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, telah didapati bersalah atas pertuduhan meminta sebanyak RM187.5 juta dan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta di Mahkamah pada hari ini. Wang tersebut merupakan upah untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan projek pembekalan elektrik melalui solar serta penyelenggaraan dan operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.

Keputusan Mahkamah pada hari ini sekali lagi memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia terhadap kebebasan badan kehakiman dan kewibawaan institusi penguatkuasa di negara kita. Namun, ini juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia terutamanya rakyat Sarawak sekali lagi dikhianati oleh pemimpin politik atau sekutunya daripada Barisan Nasional.

Seperti yang kita sedia maklum, banyak sekolah di Sarawak terutamanya dari kawasan luar bandar berada dalam keadaan yang usang dan kekurangan kelengkapan serta kemudahan asas. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia masih terdapat sebanyak 351 bangunan sekolah daif di Sarawak. Daripada jumlah ini, sebanyak 107 sekolah yang disahkan oleh Jabatan Kerja Raya sebagai bangunan yang tidak selamat.

Keputusan Mahkamah hari ini dengan jelasnya mencerminkan sikap pemimpin politik dan sekutunya yang sanggup menggadaikan nasib rakyat dan generasi akan datang hanya untuk memenuhi nafsu diri mereka. Bagi mereka ini yang tidak erti dengan nilai amanah, kejujuran dan integriti, mereka sanggup biarkan anak-anak kita belajar dalam keadaan yang tidak selesa dan tidak selamat, asalkan mereka dapat terus hidup dalam kemewahan yang melampau.

Walau bagaimanapun, keputusan Mahkamah hari ini merupakan suatu permulaan untuk mengembalikan keadilan untuk rakyat Sarawak. Keadilan dapat ditegakkan pada hari ini adalah hasil daripada sokongan seluruh rakyat Malaysia termasuk rakyat Sarawak yang tidak pernah berlaku dalam sejarah ke atas lambang Parti Keadilan Rakyat.

Oleh yang demikian, Angkatan Muda Keadilan Sarawak menyeru seluruh rakyat Sarawak terus memberi sokongan kepada Parti Keadilan Rakyat serta rakan seperjuangannya dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang demi mencapai keadilan kepada rakyat Sarawak dan mewujudkan satu masyarakat yang adil dan saksama di bumi kenyalang yang tercinta ini.

KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN SARAWAK
CHIEW CHOON MAN

Related Posts
crossmenuchevron-up