Carian
February 26, 2021

Pelihara Daya Saing Prasarana Selular, Jangan Guna SPV Untuk Bina Rangkaian 5G

Saya meneliti pengumuman Kerajaan berkenaan program MyDIGITAL, khususnya cadangan penubuhan sebuah entiti khusus (SPV) yang dikawal Kerajaan bagi pembinaan rangkaian 5G, serta respon negatif Fitch Solutions Country Risk & Industry Research terhadap cadangan tersebut.

Tidak boleh dinafikan pembinaan ekosistem 5G akan memberi kesan positif kepada ekonomi digital negara dan mampu memberi kelebihan daya saing buat Malaysia terutama di rantau ASEAN.

Namun beberapa perkara yang dibangkit pakar-pakar teknologi termasuk Fitch Solutions perlu diambil kira secara serius. Memandangkan ekosistem 5G adalah prasarana yang amat penting bagi masa depan negara, Kerajaan tidak harus terburu-buru melaksanakannya. Silap langkah sekarang bererti kerugian berbilion ringgit wang rakyat, serta pelbagai masalah yang bakal terjadi.

Saya sendiri tidak setuju dengan penggunaan SPV bagi pembinaan rangkaian 5G. Kerajaan perlu pelihara daya saing berasaskan prasarana (infrastructure-based competition) di Malaysia yang terbukti berkesan serta bermanfaat kepada pengguna dari segi kualiti perkhidmatan dan harga yang berpatutan.

Malah laporan akhir hasil kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan spektrum 5G pada 31 Disember 2019 juga tidak mencadangkan penggunaan SPV, tetapi melalui kaedah konsortium.

Terdapat beberapa aspek penting yang perlu dilihat Kerajaan supaya memilih cara konsortium dan bukannya SPV:

1) Ketelusan dan ketirisan
Sebuah SPV yang dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan pasti menimbulkan tanda tanya berkenaan ketelusan dalam proses pemberian kontrak, kos, ketirisan, dan masalah pelaksanaan, terutama pada ketika Darurat sedang berkuatkuasa. Tanpa proses semak imbang di Parlimen termasuk oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, kebarangkalian peningkatan kos dan ketirisan berlaku tidak dapat diketepikan.

2) Teknologi dan inovasi
Dari segi teknikal, pembinaan rangkaian berbeza oleh sebuah SPV bererti bakal wujud isu teknikal seperti kelancaran penyerahan (seamless handover) antara rangkaian 5G baharu dan 4G sedia ada, serta isu penyewaan tapak dan pelaburan jangka panjang terhadap rangkaian oleh syarikat telekomunikasi. Ini akan membantut inovasi syarikat telekomunikasi terutama dalam menyediakan perkhidmatan 5G yang disesuaikan (customised services) kepada pelanggan terutama perusahaan.

3) Kesan pada pengguna
Saya amat risau pelaksanaan pembinaan rangkaian 5G secara SPV dan bukannya konsortium akhirnya akan merugikan pengguna, apabila kos yang tidak dapat dikawal - termasuk akibat pemberian kontrak yang nilainya lebih tinggi dari yang patut, serta ketirisan - yang akhirnya mengakibatkan harga dibayar pengguna untuk perkhidmatan 5G menjadi lebih tinggi. Dari segi teknikal, penyelesaian masalah di tapak juga bakal mengambil masa lebih lama kerana tapak-tapak tersebut kemungkinan besar diselia SPV sendiri dan bukannya syarikat telekomunikasi. Kelewatan ini pasti merugikan pengguna.
Oleh itu, saya berpendirian bahawa Kerajaan perlu mengikuti pandangan SKMM dalam laporan 31 Disember 2019 iaitu dengan menyerahkan pembinaan rangkaian 5G kepada sebuah konsortium syarikat telekomunikasi dan bukannya sebuah SPV.
Malah, saya berpandangan pembinaan rangkaian 5G tersebut boleh diusahakan dua konsortium yang saling bersaing. Saya percaya konsep konsortium akan membantu menyelaras keperluan teknikal, dan persaingan sihat di antara konsortium akan membantu mengurangkan harga perkhidmatan buat pengguna nanti.
Oleh itu, saya menggesa Kerajaan untuk tidak meneruskan cadangan SPV ini. Pihak Kerajaan, SKMM dan industri telekomunikasi juga perlu segera duduk semeja dan runding semula proses pelaksanaan pembinaan rangkaian 5G demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Jurucakap KEADILAN bagi Komunikasi, Seni dan Budaya

Related Posts
crossmenuchevron-up