Carian
May 3, 2024

Karnival 25 Tahun KEADILAN

Karnival 25 Tahun KEADILAN yang julung kali diadakan pada 11 Mei 2024 di Sentul Depot, bagi menyambut ulang tahun penubuhan Parti

Keadilan Rakyat yang ke-25. Karnival ini terbuka kepada orang ramai dan anggota KEADILAN dari jam 9:00 pagi sehingga 10:00 malam.

Sejarah penubuhan Parti ini yang bermula dengan pelbagai rencam dan ujian sehingga mematangkan perjuangan KEADILAN yang kemuncaknya kepada penglibatan KEADILAN di dalam sebahagian tampuk pemerintahan negara akan dipersembahkan di dalam bentuk pameran, wacana forum dan lain-lain pengisian sepanjang karnival itu nanti.

Para pengunjung karnival juga akan disajikan dengan jualan gerai dari pelbagai vendor tempatan yang terkemuka antaranya Tia Fatihah Hijab, So.lek x Gempikat, Berrykinn, Gorpis, Fifbites Churros dan banyak lagi. Pelbagai aktiviti menarik juga bakal dipersembahkan kepada pengujung antara lain permainan tradisional rakyat, persembahan buskers lokal dan yang paling menarik persembahan artis Aisha Retno, Kaka Azraff dan penampilan khas daripada Datuk Zainal Abidin.

Bersempena dengan sambutan 25 Tahun ini juga KEADILAN akan bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan untuk membuka kaunter-kaunter bergerak bagi memudahkan urusan orang ramai antara lain kaunter pembayaran saman, kaunter permohonan kad pengenalan, kaunter berkaitan hal ehwal pensijilan halal dan lain-lain lagi.

Pada sebelah malam satu acara Majlis Kesyukuran akan diadakan di Masjid Abu Hurairah, Jalan Ipoh Kuala Lumpur, bagi memanjatkan kesyukuran di atas limpah kurnia yang Maha Esa sehingga KEADILAN kekal sampai saat ini. Buat pendokong dan anggota KEADILAN satu majlis Makan Malam turut diadakan dari jam 6:30 petang sehingga jam 10:00 malam di tempat yang sama bagi meraikan pengorbanan dan sumbangan anggota.

KEADILAN mengajak kepada semua rakyat dan anggota untuk turut sama menjayakan Karnival Sambutan 25 Tahun KEADILAN pada 11 Mei 2024 di Sentul Depot. Jumpa anda di sana!

Salam Reformasi,

NURUL IZZAH ANWAR

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat

WONG CHEN

Pengarah Sambutan 25 Tahun

Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up