Carian
June 30, 2021

Kerajaan Mesti Melibatkan Semua Pihak Untuk Sama-Sama Membendung Gejala Bunuh Diri

Tiga hari lepas saya membawa soalan Parlimen ke domain awam untuk meminta Menteri Kesihatan mendedahkan statistik bunuh diri yang terkini berbanding tahun- tahun lepas.

Alhamdulillah pada 29hb Jun 2021 - Tan Sri Dr Noor Hisham Ketua Pengarah Kesihatan telah pun memberi tindak balas kepada soalan tersebut dengan melaporkan, bahawa jumlah bunuh diri untuk tiga bulan atau suku pertama tahun 2021 ialah seramai 336 kes. Beliau juga berkata sebanyak 631 kes bunuh diri di laporkan sepanjang tahun 2020, manakala 609 kes pula di laporkan untuk sepanjang tahun 2019.

Sebelum ini kita hanya mendapat maklumat dari media dan domain awam bahawa jumlah kes bunuh diri ialah sebanyak 226 kes dalam tempoh diantara 18 Mac 2020 sehingga 30
Oktober 2020. Ternyata statistik untuk keseluruhan tahun 2020 yang di maklumkan Dr Noor Hisham hari ini jauh lebih tinggi dari yang kita jangkakan sebelum ini.

Dari angka yang di kongsi, kita melihat bahawa jumlah kes bunuh diri untuk suku pertama tahun ini menunjukkan tren yang amat menakutkan, kerana jumlah kes bunuh diri untuk 3 bulan pertama tahun 2021 melebihi dari separuh keseluruhan kes bunuh diri pada tahun 2020. Bagaimana pula jumlah di akhir suku kedua, pada hari ini 30 Jun 2021? Bagaimana sekiranya kita ekstrapolasi sehingga ke hujung tahun? Adakah kemungkinan berlaku peningkatan 100% kes bunuh diri dari tahun 2020?

Sekiranya sesuatu yang drastik tidak dilakukan dengan segera, saya khuatir andaian tren ini boleh menjadi kenyataan. Ianya seolah-olah seperti bom jangka yang menunggu masa meletup.

Maka saya ingin mencadangkan kesemua elemen positif dalam negara yang kini sedang sama-sama membantu dan berusaha dalam hal ini perlu di garap, melibatkan talian
psikososial kerajaan dan kesemua badan sukarela. Perlu ada kerjasama rapat dan erat.

Parlimen yang menjadi wadah kita menggubal dasar perlu memulakan persidangan segera, dan kerajaan mesti melibatkan semua pihak untuk sama-sama membendung gejala bunuh
diri ini.

HAJAH FUZIAH SALLEH
Ahli Parlimen Kuantan
Ketua Wanita KEADILAN Malaysia
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN & Pakatan Harapan Negeri Pahang
Jurucakap Alam Sekitar KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up