
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) melalui Pejabat Setiausaha Agung ingin memaklumkan keputusan terkini berhubung tarikh Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Kongres Nasional Wanita KEADILAN bagi tahun 2024/2025, serta pelaksanaan Pemilihan Parti 2025.
Maklumbalas ini adalah hasil daripada permohonan rasmi yang dikemukakan oleh Angkatan Muda KEADILAN dan Wanita KEADILAN bertarikh 7 Mei 2025, yang mengambil kira kebimbangan terhadap kekangan logistik dan komitmen kerja para perwakilan sekiranya kongres diadakan pada 21/5/2025 dan 22/5/2025 sebagaimana kenyataan Setiausaha Agung sebelum ini.
Setelah penelitian dan perbincangan lanjut, Pejabat Setiausaha Agung telah bersetuju seperti berikut:
1. Majlis Perasmian Bersama akan diadakan seperti yang dijadualkan pada Khamis, 22 Mei 2025, jam 8.00 malam bertempat di JB Expo, Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru.
2. Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN dan Kongres Nasional Wanita KEADILAN akan diteruskan pada Jumaat, 23 Mei 2025 dari jam 7.00 pagi hingga 6.00 petang, di lokasi yang telah ditetapkan.
3. Pemilihan Parti 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (MPAMK), dan Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN (MPWK) akan dilangsungkan pada hari yang sama, di lokasi berikut:
• Pemilihan MPAMK di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru
• Pemilihan MPWK di Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru
Penyelarasan ini diambil demi memastikan kelancaran pelaksanaan kongres serta memberi ruang yang lebih selesa kepada semua perwakilan untuk menyertai proses demokrasi parti secara aktif dan efektif.
Dr. Fuziah Salleh
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)