Carian
May 28, 2021

Nurul Izzah Gesa MKN Tangani Kluster Perindustrian Secara Serius

Majlis Keselamatan Negara digesa tangani kluster perindustrian secara serius dan bertindak melindungi keselamatan serta kebajikan pekerja kilang.

Antara kluster aktif yang menyumbang kepada kes positif covid-19 di Pulau Pinang adalah kluster industri yang membabitkan sektor perkilangan.

KP Kesihatan, Dr Noor Hisham mendapati sektor perkilangan didapati penyumbang bilangan kluster tertinggi berbanding subkategori lain iaitu sebanyak 46%.

Sepanjang 7 hari berturut-turut, 12 kluster perindustrian dicatatkan; berpunca daripada jangkitan di kilang industri yang dibenarkan terus beroperasi tanpa pelaksanaan SOP yang ketat.

Menurut Laporan Sosioekonomi Pulau Pinang 2019, 309,900 pekerja di Pulau Pinang terlibat dalam sektor perkilangan.

Sekiranya 60% daripada sektor tersebut dipaksa terus bekerja (menurut laporan - kebanyakan syarikat mendesak pekerjanya terus hadir ke kilang) bagaimanakah mereka dari sektor yang mendominasi kluster tertinggi tempat kerja mampu melaksanakan ‘lockdown’ kendiri bagi mengekang penularan wabak ini?

Meskipun prosedur operasi standard (SOP) ‘Safe@Work’ telah diperkenalkan oleh MITI bagi mencegah penularan wabak Covid-19 membabitkan sektor perkilangan, namun pelaksanaannya haruslah dikuatkuasakan dengan tegas tanpa dwistandard.

Penularan Covid-19 di sektor perkilangan harus diurus dengan cekap bagi mengelakkan rantaian kluster berpanjangan tanpa putus seperti Kluster Pintasan Kampung Jawa dan Jalan Besar Sungai Jawi.

Tanggungjawab ni bukan hanya terletak kepada pekerja, malahan juga majikan, pihak pengurusan dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Disamping saringan secara menyeluruh di dalam kilang itu sendiri perlu dilakukan tanpa membebankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), kesesakan asrama-asrama dan tempat tinggal yang disediakan untuk pekerja kilang juga menyaksikan ketidakpatuhan penjarakan sosial, selain ketiadaan ruang pengaliran udara yang cukup.

Situasi ini amat membimbangkan bukan sahaja buat kontak rapat pekerja-pekerja kilang, bahkan lokasi pekan-pekan atau bandar yang terdekat terutamanya apabila kontak-kontak rapat yang negatif namun perlu dikuarantin terpaksa keluar bagi membeli barangan keperluan kerana tiada bekalan makanan yang disediakan daripada pihak pengurusan kilang.

Akhirnya keadaan tersebut akan menyebabkan penularan dan merisikokan keselamatan pekerja kilang dan juga penduduk tempatan.

MKN juga hendaklah memastikan pekerja-pekerja - semuanya - dijaga kebajikan serta keselamatan mereka, manakala pihak pengurusan sektor pekilangan dan pembuatan perlu mematuhi SOP tanpa memilih bulu serta pangkat pekerjanya sama ada pekerja tempatan / pekerja asing.

Tidak ada orang yang selamat sehingga semuanya selamat.

Related Posts
crossmenuchevron-up