Carian
January 17, 2025

Pembangkang Perlu Menjadi “Check and Balance” Yang Berkesan

Saya ingin menyeru pihak pembangkang untuk memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang berkesan dalam memastikan keberlangsungan demokrasi di Malaysia. Malangnya, apa yang kita saksikan kini adalah pembangkang yang lebih sibuk dengan agenda politik untuk menjadi kerajaan, daripada menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengawas kepada pentadbiran negara.

Ketika YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang giat membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa dan menarik pelaburan asing untuk manfaat rakyat dan negara, pembangkang lebih sibuk menjatuhkan kerajaan dan saling menamakan calon Perdana Menteri dari kalangan mereka. Tidakkah ini bercanggah dengan matlamat sebenar mereka sebagai wakil rakyat?

Sebagai contoh, YAB PM Anwar Ibrahim telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, termasuk usaha Malaysia untuk merangka Resolusi PBB bagi mengusir Israel daripada keanggotaan PBB. Namun, persoalannya, apa yang telah dilakukan oleh Tan Sri Hadi Awang sewaktu beliau memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah ketika kerajaan Perikatan Nasional berkuasa? Apakah hasil konkrit yang telah beliau capai untuk Palestin mahupun Malaysia dalam tempoh tersebut?

Selain itu, seorang pemimpin negara perlu memiliki karakter yang mampu menyatupadukan masyarakat, bukan sebaliknya. Malangnya, Hadi Awang, yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri, sering kali menggunakan isu 3R (Race, Religion, Royalty) untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama. Malah, tindakan beliau telah mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor – satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan.

Saya ingin mengingatkan pembangkang bahawa tanggungjawab utama mereka kini adalah memastikan kerajaan memimpin dengan amanah, telus, dan cekap melalui peranan semak dan imbang. Namun, jika dalam kalangan mereka sendiri berlaku ketidakharmonian, bagaimana mungkin mereka mampu mentadbir negara dengan baik?

Justeru, saya menggesa pembangkang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti dan profesionalisme. Kerajaan pembangkang perlu fokus pada negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka agar ekonomi di negeri-negeri tersebut menjadi lebih baik dan menguntungkan rakyat, bukan membebankan lagi mereka.

Hentikanlah politik murahan dan tumpukan usaha kepada kebajikan rakyat yang telah memberi mandat kepada anda sebagai wakil mereka.

Dr. Mohammed Taufiq Bin Johari
Ahli Parlimen Sungai Petani
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Kedah

Related Posts
crossmenuchevron-up